Halaman

25 June 2012

Terengganufm sasar RM1.18 juta kutipan iklan

Oleh; Esah Abdullah

Terengganufm menyasarkan pendapatan iklan (KPI) 2012 sebanyak RM1.18 juta. Ini berdasarkan unjuran pendapatan 2008 hingga 2011.

Pemangku Pengarah Jabatan Penyiaran Terengganu, Hajah Azizah Yusof berkata, walaupun angka kutipan sering turun naik dan pernah mencecah kutipan paling tinggi iaitu RM948,903 (2008).

”Pendapatan tahun lalu merosot sedikit iaitu RM844,449 namun jumlah itu mampu meningkat berdasarkan rating stesen semakin tinggi dan jumlah pendengar meningkat serta promosi kumpulan pemasaran yang lebih agresif, ”.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di majlis Mesra Ceria Terengganufm bersama pengiklan dan anak-anak yatim di Hotel Permai Inn, Kuala Terengganu petang semalam.

Majlis berkenaan dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Program Radio, Jabatan Penyiaran Kuala Lumpur, Cik Siti Mohaini Saad. Hadir sama Wakil Utusan Airtime Sdn Bhd.Tengku Armie Marina Tengku Arif dan Pengurus Besar Hotel Permai Inn Encik Azman Ali.

Katanya, walaupun saingan dalam dunia penyiaran semakin sengit tetapi jumlah pendengar Terengganufm terus meningkat serta berjaya menawan hampir 40 peratus dari jumlah penduduk Terengganu.

Menurutnya pada suku kedua tahun ini Terengganufm mencatat jumlah pendengar 380,000 dan dijangka terus meningkat penghujung tahun ini berbanding 200,000 lima tahun lalu.

Mengikut kajian katanya, pendengar dewasa (45 tahun keatas), sekitar 60 peratus, remaja (30 peratus) dan selebihnya kanak-kanak manakala pendengar luar bandar (60 peratus) dan bandar (40 peratus).

”Setakat ini Terengganufm berada ditempat ketiga Radio RTM negeri paling popular selapas Kelantan dan Kedah.

Katanya, program hari ini merupakan program tahunan untuk meraikan para pengiklan yang telah membantu meningkatkan kutipan iklan di Terengganufm dan sekali gus memberi sumbangan pakaian Hari Raya kepada anak-anak yatim di sekitar Daerah Kuala Terengganu.