Halaman

17 June 2012

Tiga lagi pelumba Terengganu layak ke Olimpik

Oleh: Aida Abd Rahman

Tiga lagi kelibat anak Terengganu bakal menyertai pelumba negara ini menyarung jersi Malaysia di Olimpik London, bulan depan.

Kejayaan pelumba berkenaan, Adeq Husainie Othman dari Champion System dan Amir Mustafa Rusli (Drapac Professional Cycling Team) serta pelumba simpanan, Mohd Zamri Salleh (Terengganu Pro-Asia Cycling Team) menimbulkan reaksi gembira pemimpin utama negeri, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

“Saya mengucapakan tahniah dan tambahan pelumba ini merupakan kejayaan anak Terengganu di pentas dunia.

“Anuar Manan walaupun dia hebat, tetapi dia pelumba di tanah rata, manakala bukit dia tidak boleh kuasai, begitu juga dengan Harrif (Mohd Harrif Salleh), tetapi Adeq Husainie dia boleh pergi bukit dan juga tanah rata, sebab di Olimpik London melibatkan bukit dan tanah rata. Sebab itulah, Adeq Husaini terpilih..Dia daripada Kemaman, saya tahu,” katanya di sidang media selepas melancarkan Kar1sma Seledang Biru, Semarak Kasih, di Taman Tamdun Islam, Pulau Wan Man, Kuala Terengganu, semalam (16 Jun).

Sehingga kini, lima pelumba kelahiran Terengganu termasuk Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustafa berjaya mengesahkan penyertaan ke Olimpik.

“Alhamdulillah, sudah lima anak Terengganu berjaya mengesahkan penyertaan sebagai pelumba basikal lain di Olimpik. Sebagaimana atlet lain yang berjaya ke Olimpik kita akan berikan mereka RM10,000 seorang sebagai duit poket dan mereka boleh memilih sama ada ibu atau bapa mereka untuk mengiringi dan kerajaan negeri akan menanggung sepenuhnya perjalanan ke London.

“Kerajaan negeri sudah membuat tempahan awal bagi menguruskan aspek penginapan dan juga tiket pergi balik ke sana bagi mengelak tiket habis,” katanya.