Halaman

26 June 2012

UMT sedia RM1.2 juta untuk penyelidik

Oleh: Suriati Ali

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) memperuntukkan tambahan kira-kira RM1.2 juta sepanjang tahun ini, bagi membantu 80 penyelidik supaya terus aktif membuat kajian dan berupaya mempertingkatkan kepakaran dalam bidang masing-masing.

Melalui peruntukan itu, setiap penyelidik layak memohon antara RM5,000 hingga RM15,000 bergantung kepada keperluan bahan kajian dan kertas kerja yang disediakan.

Naib Canselor UMT, Prof Datuk Dr. Ibrahim Komoo, berkata peruntukan itu disediakan sebagai tambahan kepada dana yang disumbangkan pihak berkaitan termasuk Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi tujuan sama.

“KPT ada menyalurkan sumbangan RM10 juta pada tahun lalu, bertujuan mempertingkatkan kualiti kajian dan inovasi.

“Tindakan kementerian itu juga selaras dengan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN),” katanya ketika berucap di Majlis Anugerah Malim Ilmu, di Taman Tamdun Islam, Pulau Wan Man, Kuala Terengganu, malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor Prof Dr Noor Azhar Mohamed dan Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Penyelidikan & Inovasi), Dr Norhayati Moh Tahir.

Pada majlis itu, Prof Madya Dr Nora’aini Ali dianugerahkan Saintis Tahunan Terbaik dan Dr Ikmar Nizam Mohammad Isa pula mengondol anugerah Saintis Muda Terbaik.

Manakala 133 penyelidik lagi menerima anugerah Penerbitan Artikel Jurnal Berwasit sempena majlis yang diadakan kali ke-5 itu.

Buku Panduan dan Etika Penyelidikan UMT turut dilancarkan sebagai panduan dan tunjuk ajar kepada prinsip-prinsip umum bagi menjalankan penyelidikan yang beretika sesuai dengan pronsip umum bagi menjalankan penyelidikan terhadap manusia, tumbuhan dan haiwan.

Prof Datuk Dr Ibrahim turut memberitahu pecapaian dalam penyelidikan yang ada sekarang merupakan asas kukuh untuk terus bergerak ke depan ke arah mencapai matlamat menjadi sebuah universiti bermutu dalam menghasilkan karya penyelidikan.

“Kejayaan lebih cemerlang boleh dicapai sekiranya, penyelidik mampu mengekalkan iltizam untuk mencapai sasaran seperti yang digariskan dalam pelan strategi universiti,” katanya.