Halaman

19 June 2012

WARGA USIA EMAS TERHARU DENGAN BANTUAN JKM

Oleh: Mastura Jamaluddin

Wajah tua yang tersenyum menceritakan kegembiraan yang tidak terkata apabila rumahnya dibaiki oleh pelbagai pihak yang prihatin.

Rumah yang selama ini uzur seolah-olah tidak berpenghuni kini kembali ceria setelah menerima sentuhan daripada Program Karisma Cakna Komuniti sebanyak RM5000 di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Jabatan Kebajikan Masyarakat Hulu Terengganu dengan kerjasama Pejabat ADUN Kuala Berang, RELA, JKKK Kampung Sungai Petai, polis, AADK, Persatuan KOMITH telah bersatu untuk membantu merubah persekitaran dan wajah rumah yang didiami Pak cik Osman Sulong, 86, bersama cucunya Nazri Ishak.


“Pak Cik rasa syukur dan gembira bila ramai orang bantu pak cik membaiki rumah yang uzur ini dan ucapkan banyak-banyak terima kasih kepada semua yang telah menolong pak cik dari dulu hingga sekarang.”kata Pak Cik Osman ketika ditemui.

Beliau yang kini terlantar sakit tua dan lumpuh sejak lapan tahun lalu, ditemani Nazri dan menetap di Kampung Sungai Petai selama 30 tahun.

Beliau kini menerima bantuan RM300 setiap bulan daripada JKM di bawah Bantuan Pesakit Kronik.

JKM turut membina bilik air di atas rumah bagi memudahkan Pak cik Osman untuk berulang alik yang selama ini terpaksa dikendong oleh cucunya turun ke bawah rumah.

Menurut Pegawai JKM,Encik Mohd Fadzli Ismail,pembinaan ini termasuk dalam peruntukan RM5000 daripada tujuh program yang akan di jalankan di bawah Program Karisma Cakna Komuniti.