Halaman

15 June 2012

YIT hantar guru Kafa ikuti kursus pemantapan

Oleh; Esah Abdullah
Gambar oleh Zulkipli Putra

Yayasan Islam Terengganu (YIT) sedang mengatur kursus-kursus kepada guru-guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di negeri ini dalam usaha melahirkan guru berpengetahuan tentang teknik pengajaran di samping meningkat kefahaman dasar-dasar kerajaan.

Timbalan Pengarahnya, Haji Alias Jaafar (gambar kecil) berkata, YIT menjalin kerjasama dengan Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT) mengadakan kursus pemantapan kepada 1,600 guru Kafa pada Julai depan.

“Kuraua ini adalah untuk memastikan setiap pembelajaran yang disampaikan kepada pelajar adalah yang terbaik,” katanya di majlis Perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Guru Kafa Terengganu (Perkat) di Wisama Darul Iman semalam.

Mesyuarat Agung Perkat telah dirasmikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said. Hadir sama Timbalan Pengerusi Perkat , Ustaz Muhamad Husin.


Katanya, melalui hasil kajian menunjukkan guru Kafa yang berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) keberkesanan pengajarannya adalah 45 peratus, guru yang mempunyai jawatan lain seperti imam dan bilal keberkesanannya 70 peratus manakala yang berstatus guru Kafa Kementerian keberkesanan pengajarannya 85 peratus.

Menurutnya, sebagai guru Kafa seharusnya menjalinkan hubungan erat dengan pihak pentadbiran sekolaj terutamanya Guru Besar bagi memudahkan lagi pelaksanaan program Kafa di sekolah-sekolah.

Beliau turut merasa bangga di atas kejayaan pelajar dalam Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) yang diadakan dan Terengganu muncul negeri paling ramai mendapat keputusan semua A dalam semua subjek.

Katanya, tahun lalu seramai 4,212 pelajar mencapai keputusan 8A daripada 19,166 calon berbanding tahun sebelumnya (2010) seramai 3,527 mendapat 8A.

“Tahun ini sekali lagi kita mencatat sejarah bila seorang pelajar kelas Kafa, Nor Hidayah Azmidi daripada Sekolah Kebangsaan Putra Jaya, Setiu terpilih menerima Anugerah Pelajar Cemerlang Peringkat Kebangsaan kerana mendapat keputusan cemerlang dalam UPKK,” katanya.

YIT juga katanya, bersungguh-sungguh untuk merealisasikan hasrat kerajaan negeri yang menyasarkan 30,000 pelajar akan khatam Quran tahun ini termasuk 20,000 pelajar Kafa serta 10,000 pelajar Pra Sekolah (Tadika).






No comments: