Halaman

10 June 2012

YPK serah tanah untuk dimajukan syarikat swasta

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) menyerahkan tiga bidang tanah miliknya seluas kira-kira 13 hektar untuk dimajukan syarikat swasta secara komersil dan bakal menjana keuntungan RM22.2 juta.



Tanah milik yayasan itu dengan keluasan 0.4 hektar di Batu Buruk diserahkan kepada Syarikat VST Cemerlang Sdn Bhd bagi projek rumah kedai, pejabat dan apartmen setinggi 20 tingkat, bernilai RM57.4 juta.

Manakala tanah seluas 12 hektar di mukim Banggol, Kemaman, diserah kepada Syarikat Total Merit Sdn Bhd, untuk dimajukan dengan projek rumah kedai, pejabat, rumah teres dan rumah mampu milik dengan kos RM65.4 juta.

YPK turut menyerahkan tanah seluas 0.42 hektar di mukim Kuala Nerus, Kuala Terengganu kepada Syarikat Helmat Jaya Development & Construction Sdn Bhd, yang bakal dimajukan dengan projek rumah kedai dan pejabat bernilai RM5.2 juta.

Majlis menandatangani projek usahasama memajukan tanah-tanah berkenaan dengan wakil syarikat-syarikat berkenaan diadakan di Tingkat 18, Wisma Darul Iman, petang ini.

Majlis tersebut disaksikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang juga merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah Pemegang Amanah YPK Terengganu.

Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato’ Haji Mazlan Ngah, menandatangani perjanjian tersebut bagi pihak YPK Terengganu.