Halaman

26 July 2012

Ahli Serikandi tidak lupa jasa ahli veteran

Oleh: Suriati Ali
GAMBAR OLEH ZULKIPLI PUTRA



Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat Negeri Terengganu (Serikandi) tidak pernah melupakan jasa dan keringat ahli-ahli veteran Serikandi yang sebelum ini bergiat aktif dalam semua perkara.

Untuk terus merapatkan hubungan sedia ada, Serikandi mewujudkan Program Ziarah Ramadan Ahli Veteran Serikandi bertujuan melawat dan bertanya khabar mereka yang uzur.

Yang Dipertua Serikandi yang juga isteri Menteri Besar Terengganu, To' Puan Seri Norliza, berkata program seumpama ini bukan saja mampu merapatkan hubungan antara ahli veteran dan ahli baru malah dapat berkongsi pengalaman.

“Semua ahli-ahli veteran ini banyak pengalaman kerana pernah bergiat aktif dalam semua perkara sewaktu suami masing-masing bergelar wakil rakyat dan Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri pada era 80-an lalu.

“Kami menghargai jasa dan bakti mereka kerana banyak memberi tunjuk ajar kepada kami semua yang masih aktif sebagai ahli Serikandi,” katanya.


Katanya, dia dan ahli rombongan lain cukup gembira kerana dapat berkumpul dan menziarahi ahli-ahli veteran yang kebanyakan sudah uzur dan ada juga yang menghidap penyakit tertentu seperti diabetis, jantung dan sebagainya.

“Kami cukup mengharapkan kedatangan ini dapat menghilangkan rasa rindu dan sunyi mereka,” katanya.