Halaman

30 July 2012

Generasi baru perlu faham sejarah Felda – MB

Oleh FAUZI MOHD

Generasi baru Felda perlu memahami sejarah penubuhan agensi itu supaya ia terus dipertahankan pada masa depan.



Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, generasi baru perlu menyedari bahawa agensi itu berjaya mengubah kehidupan peneroka ke arah yang lebih baik.

Tegasnya, tindakan segelintir generasi baru Felda yang condong kepada pihak pembangkang kerana mereka tidak memahami sejarah penubuhan agensi itu.

"Sejarah awal penubuhan Felda difahami oleh peneroka asal kerana golongan tersebut yang mula meneroka tanah ketika itu.

"Berkat kesabaran mereka membangunkan tanah rancangan Felda, mereka menikmati hidup lebih baik sehingga ke generasi seterusnya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa bersama warga Felda dan penduduk sekitar di Masjid Kampung Rahmat, Setiu semalam.

Turut hadir, Ahli Parlimen Setiu, Dato’ Mohd Jidin Shafie; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, YB. Asha’ari Idris dan ADUN Permaisuri, YB. Abdul Halim Jusoh.



Pada majlis itu, Menteri Besar dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud turut menyampaikan sumbangan kepada anak-nak yatim, penghargaan kepada pelajar cemerlang dan insentif kepada atlet daerah itu yang berjaya meraih pingat emas pada temasya Sukma baru-baru ini.

Turut disampaikan, cek ‘durian runtuh’ kepada penerokawati tiga kawasan Felda di daerah itu iaitu Felda Chalok berjumlah RM2.15 juta, Felda Chalok Barat (RM1.75 juta) dan Felda Selasih (RM785,000).

Dato’ Seri Ahmad menegaskan, dengan memahami sejarah penubuhan Felda, generasi barunya tidak akan terpengaruh dengan dakyah pembangkang yang kononnya mampu membela nasib mereka di tanah rancangan.

Menurut beliau, pihak pembangkang hanya mampu berjanji tetapi tidak pernah membantu apabila peneroka berada dalam kesusahan.

"Sebaliknya kerajaan dan Felda yang banyak berusaha mengubah kehidupan masyarakat peneroka termasuk generasi baru yang menerima pelbagai faedah demi meningkatkan taraf kehidupan," jelasnya.



Selepas majlis berbuka puasa dan solat maghrib di masjid itu, Menteri Besar ke Masjid Kampung Pelong untuk bersama penduduk kampung itu menuaikan solat Isyak dan Terawih.