Halaman

15 July 2012

Hasrat Anwar Undur - ADUN Pas Batu Burok sanggah Nik Aziz?

Oleh FAUZI MOHD

Hasrat Ketua Pembangkang Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang mahu bersara daripada dunia politik jika tewas Pilihan Raya Umum 13 (PRU13) mendapat pelbagai reaksi daripada pelbagai pihak termasuk pemimpin tertinggi Pas.

Kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok, Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi yang dilihat menyokong pengunduran itu, sekali gus menolak tanggapan bahawa kepimpinan Pas tidak bersetuju keputusan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

Syed Azman menyifatkan kenyataan Anwar mahu berundur sebagai seorang yang berjiwa besar apabila tetap dengan pendirian bersara sekiranya Pakatan Rakyat gagal menawan Putrajaya.

Penolong Setiausaha Agong Pas itu berkata, tindakan sedemikian pernah dilakukan pemimpin-pemimpin negara asing lain yang tidak mampu mengekalkan kemenangan bagi pihak masing-masing.

“Kalau kita lihat banyak contoh-contoh sebelum ini yang dilakukan pemimpin-pemimpin negara lain yang berjiwa besar dan berundur daripada kepimpinan apabila kalah,” katanya kepada akhbar Sinar Harian semalam.

Pendirian itu membuktikan, tidak semua kepimpinan Pas ‘sehati sejiwa’ dengan Mursyidul Am Pas, Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat yang tidak bersetuju dengan hasrat Anwar untuk berundur jika gagal PRU 13.

Tindak balas Syed Azman itu dikatakan mempunyai kaitan dengan rasa ‘rimas’ penyokong-penyokong Pas yang merasakan hasrat Anwar berundur merupakan satu peluang untuk parti itu ‘sapu’ wajah politik pemimpin itu dalam Pakatan Rakyat.

Anwar bukan sahaja didakwa menjadi liabiliti kepada Pakatan Rakyat, malah imej seperti pertuduhan liwat di mahkawah, video lucah, dakwaan skandal seks dan rasuah yang dikaitkan dengan Anwar telah menyebabkan nilai perjuangan Pas rosak teruk.

Sebelum ini, reaksi Nik Aziz menyebut, “Saya kurang bersetuju jika dengan hasrat beliau (Anwar) untuk bersara”.

“Berjuanglah di medan politik dan teruskan perjuangan mengajar rakyat,” kata Menteri Besar Kelantan itu.