Halaman

30 July 2012

HSNZ buat kempen derma darah di 15 masjid terpilih

Oleh; Esah Abdullah

Unit Tabung Darah Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini sedang giat mengadakan kempen menarik orang ramai untuk menderma darah sepanjang bulan Ramadan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, YB Dr A. Rahman Mokhtar berkata, unit tabung tersebut akan mengadakan kempen secara meluas di 15 buah masjid terpilih seluruh negeri.

Beliau akui, pada bulan Ramadan penderma darah daripada masyarakat Islam berkurangan, tetapi diharapkan bulan puasa tidak dijadikan alasan untuk tidak menderma bagi membantu pesakit yang memerlukan.

Katanya, unit berkenaan juga akan mengadakan kempen di pusat-pusat komuniti yang menjadi tumpuan ramai untuk menggalakkan masyarakat bukan Islam turut menderma.

``Walaupun Unit Tabung Darah belum menghadapi masalah kritikal kekurangan darah, tetapi ianya perlu mempunyai simpanan untuk menampung jika berlaku kecemasan yang memerlukan darah yang banyak’’

``Selain itu tidak dinafikan apabila menjelang perayaan statik kemalangan jalan raya meningkat dan ada yang mengalami kecederaan teruk dan memerlukan bantuan daerah segera,’’ katanya.

Beliau berkata, pada masa ini unit tabung darah tersebut memerlukan kira-kira 1,000 hingga 1,200 pain darah sebulan untuk membantu kes pesakit.

Tetapi jumlah itu kemungkinan meningkat terutama menjelang musim perayaan terutama bagi membantu mangsa-mangasa kemalangan.

Oleh itu beliau berharap orang ramai sentiasa prihatin dan bersedia untuk menderma darah bagi membantu membantu orang lain yang memerlukan.