Halaman

27 July 2012

JKT letak label pada gerai bersih


Oleh; Esah Abdullah

Jabatan Kesihatan Terengganu (JKT) akan memberikan penilaian permarkahan mengenai aspek kebersihan dan mematuhi peraturan kesihatan serta perundangan kepada 4,577 peniaga di 47 bazaar Ramadan seluruh negeri mulai tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Parpaduan dan Hal Ehwal Pengguna, YB Dr A. Rahman Mokhtar berkata, pegawai daripada Jabatan Kesihatan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di setiap daerah akan bekerjasama termasuk mengambil sampel makanan untuk memastikan makanan yang dijual kepada orang ramai sepanjang Ramadan bersih dan tidak tercemar.

Katanya, daripada hasil pemeriksaan yang dijalankan itu , pemarkahan akan dilakukan dan kepada peniaga yang mendapat penilaian markah 80 peratus keatas akan dilabelkan digerai masing-masing sebagaimana yang diadakan ke atas restoran dan kedai makan.

Manakala peniaga yang mendapat penilaian markah bawah 60 peratus tidak akan dilabelkan dan dikira gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan dalam aspek kebersihan dalam penyediaan makanan.

``Dengan cara ini pengguna boleh membuat penilaian dan memilih gerai yang bersih sahaja untuk membeli juadah berbuka puasa ., katanya kepada pemberita selepas Ops Ramadan di bazaar Ramadan Kuala Ibai, petang semalam.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Dr Anwa Sulaiman dan Timbalannya (Perubatan) Dr Mohamad Omar.

Menurut Dr. A. Rahman, langkah itu adalah untuk memastikan semua peniaga mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi mengelakkan berlaku keracunan makanan atau menggunakan bahan-bahan yang tidak dibenarkan.

Katanya, mana-mana peniaga yang mempunyai permarkahan penilaian di bawah 60 peratus atau berisiko menyebabkan keracunan makanan boleh diarahkan tutup di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 yang boleh di kenakan denda sehingga RM100,000.

Bagaimanapun katanya, tindakan penguatkuasaan berkenaan akan diambil jika peniaga bersikap degil dan tidak mendengar nasihat serta teguran yang diberikan.