Halaman

28 July 2012

Kembara Merdeka Jalur Gemilang bermula di Besut


YB Idris memacak jalur gemilang kepada kenderaan.

Oleh: Mohammad Ishak

Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang Ramadan 2012 memulakan pengembaraan di Besut dengan memilih Kampung Nyior Tujuh, dekat Jertih, sebagai lokasi pertama persingahan dan pelancaran aktiviti kembara.

Sempena program pihak penganjur mengatur beberapa acara sampingan termasuk jelajah daerah, solat asar berjemaah bersama penduduk dan majlis penyampaian sumbangan kepada penduduk miskin di kampung terbabit.

Majlis yang dirasmikan pelancarannya oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, Dato’ Seri Idris Jusoh, yang berlangsung di perkarangan masjid kampung itu turut mengagih-agihkan jalur gemilang kepada orang ramai.

Hadir sama ialah Pengarah Jabatan Penerangan Terengganu Azizah Awang, Ketua Konvoi Mohd Iskandar Jaafar, Ketua Polis Daerah Besut, Superintendent Kamaruddin Mohd Zakaria dan Pegawai Penerangan Daerah Besut, Halimah Awang Chik.

Kembara Merdeka yang memulakan jelajahnya di Besut akan meneruskan perjalanan ke daerah Setiu dan semua daerah negeri ini sebagai tanda simbolik bagi membangkitkan semangat patriotik dikalangan rakyat negeri ini.

Peserta kembara juga didedahkan aktiviti kemasyarakatan dan sosial apabila mereka diberi peluang mendekati penduduk dengan mengagih-agihkan sumbangan makanan kepada golongan miskin yang terpilih.

Berucap pada majlis itu, Idris yang juga Pengerusi MARA mahu penduduk negeri ini bersyukur dengan kejayaan yang dicapai oleh negara hasil perancangan pemimpin dan mampu mengurus negara dengan baik dan berkesan sejak merdeka.

Katanya, rakyat negara ini juga jangan lupa sejarah hasil kemerdekaan yang membawa kesejahteraan dan keamanan kepada negara adalah hasil kesungguhan kerajaan di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) yang berjaya mentadbir negara tanpa sebarang masalah.