Halaman

22 July 2012

Lebih 1,000 menghadiri majlis berbuka puasa anjuran UMNO Bahagian Besut


Pemimpin UMNO Bahagian Besut bersama tetamu pada majlis berbuka puasa petang tadi

Oleh: Mohammad Ishak 

Lebih 1,000 penduduk dari Parlimen Besut menghadiri majlis berbuka puasa bersama pemimpin UMNO Bahagian itu yang berlangsung di Dewan Majlis Daerah Besut (MDB) Gong Kemuntong, dekat Jertih,petang tadi.

Majlis yang dihostkan oleh Ketua UMNO Bahagian, Dato’ Seri Idris Jusoh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, turut meraikan fakir miskin dan pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Besut.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Nawi Mohamad yang juga ADUN Jertih, Naib Ketua, Muhamad Pehimi Yusof yang juga ADUN Kota Putera dan Setiausaha Bahagian, Dr A Rahman Mokhtar yang juga ADUN Kuala Besut dan Ahli Exco Kerajaan Negeri.

Pada majlis itu Idris juga menyampaikan sumbangan zakat kepada 250 golongan fakir miskin dari Kawasan DUN Jertih yang dipilih melalui cawangan dalam DUN berkenaan.

Majlis berbuka puasa itu adalah yang pertama dianjurkan oleh pemimpin UMNO Bahagian itu sempena Ramadan tahun ini dan ia akan disusuli oleh tiga lagi ADUN dan Ahli Parlimen Besut.

Majlis berbuka itu dapat mengeratkan lagi silatulrahim antara penduduk setempat khususnya ahli UMNO di bahagian berkenaan dengan pemimpin mereka.

Idris yang juga Pengerusi MARA gembira dengan sambutan yang diberikan oleh penduduk daerah itu terhadap majlis berkenaan sambil berharap orang ramai akan terus memberi sokongan kepada majlis yang sama yang akan diadakan di kawasan DUN masing-masing.