Halaman

29 July 2012

Masyarakat dekati kembara merdeka Ramadan

Oleh: Suriati Ali

Program Kembara Merdeka Ramadan Jalur Gemilang Ramadan 2012 anjuran Jabatan Penerangan Negeri Terengganu (JPNT) berlangsung selama tujuh hari bermula 27 Julai lalu.

Pengarah JPN Terengganu Hajah Azizah Awang, berkata program yang melibatkan semua tujuh daerah di Terengganu itu bagi menyemarakkan sambutan bulan kemerdekaan ke-55 pada tahun ini yang disesuaikan dengan suasana bulan Ramadan.

Menurutnya, kembara yang bermula di daerah Besut itu melibatkan 30 buah kenderaan di setiap daerah bagi mengagihkan 3,500 Jalur Gemilang secara percuma di setiap lokasi yang dikunjungi.

"Program di bawah aktiviti Semarak Merdeka 2012 itu antara lain mahu mendekatkan Jabatan Penerangan dengan kumpulan sasar kembara ini seperti pelajar, golongan orang kurang upaya (OKU), warga emas, belia dan komuniti masjid.

"Ia memberi peluang kepada komuniti yang ditemui bersama-sama pemimpin setempat dalam majlis berbuka puasa dan bersahur serta menerima sumbangan daripada JPNT," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Hajah Azizah berkata, hari pertama program di Besut bermula di Masjid al-Taqwa, Kampung Nyior 7, Jertih dengan di sertai 30 buah kenderaan.

“Hari kedua di Setiu, kembara singgah di Masjid Kampung Pok Be, Langkap untuk aktiviti pemasangan bendera dan seterusnya bersama masyarakat setempat dalam majlis berbuka puasa dan bersahur.

“Meneruskan program di Kuala Terengganu pada hari ketiga, konvoi akan bersama masyarakat di sekitar Kampung Maras untuk berbuka puasa di Surau Balai Maras, Batu Rakit,” katanya.

Menurutnya, sumbangan kepada anak-anak yatim turut diagihkan kepada Rumah Anak-anak Yatim Akhyar, Kuala Terengganu dan seterusnya bersahur bersama mereka.

“Hari seterusnya di Marang, untuk menyertai majlis berbuka puasa bersama Ahli Komuniti 1 Malaysia, belia dan penduduk setempat di Masjid Kampung Jenang, Pengkalan Berangan.

"Kembara hari kelima dan seterusnya bertempat di Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman, konvoi akan turut bersama-sama dengan masyarakat setempat melaksanakan aktiviti yang dirancang,” katanya