Halaman

19 July 2012

NGO terharu terima sumbangan

Oleh: Suriati Ali
GAMBAR : ZULKIPLI PUTRA

Majlis Perundingan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri Terengganu terharu di atas kesudian kerajaan negeri yang menghulurkan peruntukan RM2 juta kepada majlis itu untuk diagihkan kepada ratusan NGO.

Pengerusi Jawatankuasa Induk itu, YB Senator Haji Abdul Rahman Bakar, berkata melalui peruntukan itu, setiap NGO layak menerima sumbangan antara RM2,000 hingga RM4,000.

Katanya, pengagihan sumbangan kepada NGO di seluruh negeri itu bergantung kepada jumlah ahli dan peranannya.

“NGO yang aktif dengan pelbagai program kebajikan masyakat, sukan dan aktiviti ilmiah diberi kelebihan dengan mendapat sumbangan maksimum sebanyak RM4,000 bagi setiap NGO.

“Mana-mana NGO yang aktif dan belum memperoleh runtukan seumpama ini, mereka boleh berurusan denga pihak majlis dalam tempoh terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program NGO Dihatiku di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, hari ini.

Program yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Rozi Mamat itu turut dihadiri penceramah khas yang juga Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri (Pengurusan) Dato' Wan Ahamad Wan Muda dan beberapa pegawai kanan kerajaan negeri.

Lebih 2,000 peserta yang juga ahli NGO hadir pada program yang bertujuan memupuk semangat berpersatuan dan menjalin hubungan silaturahim antara pemimpin negeri.

Senator Haji Abdul Rahman turut memberitahu setiap NGO yang wujud di mana-mana daerah merupakan tulang belakang kepada kerajaan negeri dalam membantu pelbagai kejayaan sama ada berkaitan pendidikan, sumber manusia dan sukan.

“Tiada tiada NGO mungkin sukar untuk rakyat berhubung mengenai pelbagai perkara dan kemudahan,” katanya.