Halaman

13 July 2012

Peluang 12,000 anak miskin bergelar pelajar UiTM


Oleh FAUZI MOHD dan HAZWAN ROSLEE
Gambar ZULKIPLI PUTRA

Program Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB) memberi peluang kepada anak miskin di negara ini menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) menerusi program Pra Diploma yang ditawarkan universiti terbesar negara itu.

Naib Canselornya, Prof. Dato’ Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar berkata, sejak dilancarkan hujung tahun 2010, pihaknya menerima kemasukan 12,000 pelajar untuk mengikuti program tersebut.

“Pada awal program dilancarkan, kita hanya sasarkan 5,000 pelajar miskin, penduduk luar bandar termasuk Orang Asli akan diterima masuk mengikuti MDAB di semua cawangan UiTM di seluruh negara.

“Hasilnya selepas 12 siri penjelajahan termasuk di Sabah dan Sarawak, jumlahnya kini kira-kira 12,000 pelajar,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran program itu oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak di Arena Square, Dungun hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said, kepimpinan negeri serta lebih 30,000 rakyat pelbagai kaum termasuk kira-kira 20,000 penuntut UiTM.



Pada majlis itu, Dato' Seri Najib turut menyampaikan surat tawaran program MDAB kepada wakil-wikil pelajar UiTM dari semua cawangan seluruh semenanjung.

Menurut Sahol Hamid, walaupun permohonan yang diterima melebihi daripada sasaran ditetapkan, namun UiTM tetap memberi peluang kepada pelajar terbabit diterima masuk menerusi program MDAB.

“UiTM mahu ‘selamatkan’ semua 12,000 anak miskin ini. UiTM tidak akan menolak untuk mereka melanjutkan pelajaran dan kita akan buka lebih banyak cawangan untuk menampung kemasukan ini.

“Walaupun kita tahu, ramai diantara mereka tidak begitu cemerlang dalam SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) di peringkat sekolah. Sebab itu kita tawarkan program Pra Diploma,” katanya.

Katanya, pelajar miskin khususnya di luar bandar tidak boleh dibiarkan tercicir untuk mendapat peluang pendidikan terbaik walaupun mereka tidak berpeluang melanjutkan pelajaran di beberapa universiti lain.

Pelajar yang mengikuti Program Pra Diploma di universiti itu diberi kemudahan sewajarnya seperti yuran pengajian percuma dan elaun sara diri adalah hasil sumbangan Alumni UiTM, derma sumbangan syarikat milik kerajaan dan wang zakat.