Halaman

31 July 2012

Pembinaan Lebuh raya Hulu Besut bermula


YAB Menteri Besar bersama YB Dato' Seri Idris Jusoh dan YB Nawi Mohamad pada majlis berbuka puasa di Felda Tenang,Hulu Besut

Oleh: Mohammad Ishak

Penduduk daerah Besut akan menikmati kemuduhan perhubungan lebuh raya bagi menghubungkan daerah itu dengan Hulu Terengganu dan Kelantan apabila pembinaannya kini bermula.

Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Said berkata, lebuhraya yang bermula dari Kampung Keruak,Hulu Besut ke Gunung Bongsu,Hulu Terengganu dan Gua Musang,Kelantan akan memberi manfaat kepada penduduk daerah Besut.

Katanya, dengan pembinaan lebuhraya itu Kerajaan Barisan Nasional (BN) mengotakan janjinya apabila majlis pecah tanah yang dilakukan bekas Menteri Besar,Dato’Seri Idris Jusoh pada 2008 kini dikotakan.

Menurutnya, projek bernilai RM500 juta itu akan dibina secara berperingkat-peringkat dan fasa pertama membabitkan pembinaan sejauh 40 kilometer dengan kos RM110 juta

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan replika cek bernilai RM1.4 juta kepada 287 isteri peneroka Felda Tenang,Hulu Besut, dekat Jertih.

Hadir sama ialah Ketua UMNO Bahagian Besut, Dato' Seri Idris Jusoh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan,Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr A Rahman Mokhtar, ADUN Hulu Besut, Nawi Mohamad dan Pegawai Daerah Besut,A Rahim Jusoh serta pegawai kanan kerajaan daerah itu.

Majlis penyerahan replika cek sempena berbuka puasa itu adalah lawatan pertama Menteri Besar ke rancangan tanah berkenaan sejak beliau menerajui kerajaan negeri.

Pada majlis itu beliau mengingatkan peneroka Felda supaya bersyukur kerana mendapat pelbagai nikmat hasil daripada usaha kerajaan BN memajukan agensi itu malah ia turut dicemburui oleh mereka yang tinggal di luar Felda.