Halaman

26 July 2012

Saudara kita, Orang Asli ceria dirai sempena Ramadan

Oleh: Aida And Rahman
Gambar ZULKIPLI PUTRA


Keceriaan tergambar pada wajah 490 saudara kita dan Orang Asli apabila mereka bukan sahaja diraikan dalam majlis berbuka puasa, malah turut menerima agihan zakat Aidil Fitri serta sumbangan biskut raya di Hotel Primula Beach Resort, Kuala Terengganu, semalam (25 Julai).

Turut hadir di majlis itu, Pengerusi jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Haji Khazan Che Mat; Yang Dipertua Maidam, Dato’ Senara Muda, Dato’ Mazlan Hashim; Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Haji Wan Harujan Sulaiman dan Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Haji Mohd Rozali Salleh.

Program tahunan sempena meraikan sambutan Ramadan menjadi platform kepada golongan itu untuk saling beramah-mesra dan merapatkan silaturahim sesama mereka.

Bagi Khatijah Abdullah, 60, dari Padang Nenas, Kuala Terengganu, jemputan menghadiri majlis itu amat ditunggu-tunggu saban tahun , apatah lagi dia dan beberapa ahli keluarga yang lain turut menerima bantuan zakat RM350 daripada Maidam yang dapat digunakan untuk berbelanja sepanjang Ramadan.

“Alhamdulillah, dapat berbuka puasa bersama saudara sesama Islam di tempat mewah sebegini (hotel), kalau mahu datang sendiri tidak mampu. Hari ini juga dapat zakat hari raya, jadi syukur kepada Allah s.w.t,” katanya yang berasal dari Siam, Thailand dan sudah 20 tahun memeluk Islam.

Suzila Amira Yap Abdullah, 23, yang berasal dari Sabah dan bekas penganut Kristian, pula berasa gembira dapat menyertai program untuk kali kedua sepanjang memeluk Islam tiga tahun lalu.

Dia yang berumahtangga dengan Mohd Fadhil Mohamad, 28, dan menetap di Kampung Gong Pasir, Kerandang, Besut tidak mahu melepaskan peluang untuk menghadiri majlis itu pada masa akan datang kerana bukan sahaja dapat berkongsi pengalaman dan maklumat berguna, malah dapat menjalinkan suasana muhibah sesama agama.

“Terima kasih kepada Maidam yang menganjurkan majlis berbuka puasa dan mengagihkan zakat kepada saudara baru yang memeluk Islam. Wang zakat ini dapatlah digunakan untuk membuat persiapan raya nanti,” katanya.

Sementara Abdul Hadi Alias, 20, dari Sungai Berua, Hulu Terengganu, turut berkongsi kegembiraan dapat berbuka puasa di hotel dan menerima zakat daripada Maidam walaupun terpaksa menaiki bas sejak tengah hari lagi untuk tiba ke majlis itu bersama dua keluarga yang lain.

“Kami gembira, kalau boleh mahu datang lagi ke majlis sebegini jika ada jemputan. Walaupun terpaksa menaiki bas dan keluar awal dari kampung kami tidak kisah,” katanya.

Bagi Sharifah Nerena Abdullah, 57, dari Sura tengah, Dungun, pula berasa bersyukur kerana dapat menyertai rakan saudara baru yang lain ke majlis itu untuk kali kedua, selepas pertama kali menyertainya tahun lalu di Kompleks Darul Hidayah, Jalan Sultan Omar.

“Program ini amat bagus kerana dapat menemui kawan yang lain dan berkongsi ilmu agama supaya dapat memantapkan lagi pemahaman megenai Islam untuk dipraktikkan dalam kehidupan saya bersama keluarga terutama suami, Mohd Sidik Ali Mohamad bersama lima anak tiri saya,” katanya yang berasal dari Switzerland dan sudah 13 tahun beragama Islam.