Halaman

25 July 2012

Sedia RM8.7 juta untuk pelajar sambung belajar

Oleh: Suriati Ali
Gambar ZULKIPLI PUTRA

Kerajaan negeri memperuntukan kira-kira RM8.7 juta bagi membantu 11,316 pelajar seluruh Terengganu melanjutkan pelajaran ke pelbagai Institusi Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta sepanjang tahun ini.

Melalui peruntukan itu, seramai 5,594 pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah layak menerima sumbangan sebanyak RM1,000 seorang; 1,344 pelajar diploma (RM750 seorang), 1,986 pelajar matrikulasi (RM500) dan seramai 2392 bagi pelajar sijil dan Sekolah Berasrama Penuh masing-masing memperoleh RM500.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata seramai 5,257 pelajar sudah pun menerima sumbangan masing-masing pada Jun lalu manakala selebihnya iaitu 6,059 akan menerimanya dalam tempoh terdekat.



“Kerajaan negeri sanggup melakukan apa saja semata-mata mahu melihat anak didik Terengganu terus cemerlang mencipta nama di serata negeri dan negara.

"Oleh itu apa yang kurang kita tambah, termasuk menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM1.2 juta kepada Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu bagi melaksanakan program,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Ahli-ahli Majlis Kerajaan Negeri, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu kerajaan negeri cukup bangga kerana apa yang disumbangkan kepada pelajar sebelum ini mula menampakkan hasil yang membanggakan sama ada dalam bidang pendidikan mahupun sukan.