Halaman

08 July 2012

Segerakan projek, elak dipolitikkan pembangkang- Dato' Nasir

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri diminta menyegerakan semua projek pembangunan infrastruktur di kawasan Parlimen Kuala Nerus terutama membabitkan projek jalan raya empat lorong di Gong Badak, Kuala Terengganu yang sepatutnya bermula awal Jun lalu.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Mohd Nasir Ibrahim Fikri, berkata projek sepanjang tiga kilometer yang mempunyai terusan sedalam lapan kaki itu cukup penting bagi kawasan itu kerana bukan saja mampu menaikkan imej Kuala Nerus malah dapat menjana ekonomi penduduk setempat melalui pelbagai aspek.

Katanya, pihaknya risau kelewatan ini akan dipolitikkan pihak pembangkang yang akan menggunakan isu tersebut untuk meraih undi rakyat menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Ke 13 nanti.

“Pembangkang akan mendakwa kononnya kerajaan negeri hanya menabur janji namun tidak menunaikannya, kita boleh elak isu ini dengan menyegerakan apa yang dijanji," katanya selepas Majlis Mesra Bersama Media, di Restoran Payang Serai, Kuala Terengganu, malam kelmarin.

Kira-kira 50 pertugas media pelbagai agensi hadir pada majlis tahunan itu yang dianjurkan Pejabat Ahli Parlimen Kuala Terengganu.

Katanya, sebelum ini kerajaan negeri ada mengumumkan akan memberi peruntukan awal sebanyak RM20.2 juta untuk kerja-kerja fasa pertama.

“Berita untuk menubuhkan daerah kelapan ini sememangnya ditunggu-tunggu penduduk tempatan kerana mengetahui pelbagai urusan dapat dipermudahkan.

“Apabila Pusat Pentadbiran Kuala Nerus dapat ditubuhkan kelak, penduduk setempat tidak perlu lagi ke kawasan bandar raya Kuala Terenganu bagi tujuan itu,” katanya.

Katanya, pihaknya telah mengenal pasti beberapa lokasi untuk dijadikan pusat pentadbira daerah baru ini di mana tempat yang dipilih utu terletak di tengah-tengah kawasan Kuala Nerus dengan mengelak pengambilan balik tanah rakyat.