Halaman

08 July 2012

Terengganu destinasi pelaburan dan pelancongan


Oleh: Kamarudin Mat Akib


Negeri Terengganu amat sesuai dijadikan sebagai destinasi pelaburan dan pelancongan peringkat antarabangsa, khususnya di kalangan negara-negara Timur Tengah dan Afrika.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Toh Chin Yaw, berkata kerajaan negeri sentiasa mahu bekerjasama dan memenuhi kehendak-kehendak pelabur luar negara bagi merealisasiskan hasrat pelabur luar untuk melabur di negeri ini.

“Sejak kebelakangan ini Terengganu berkembang dengan pesat dan menjadi sebuah negeri yang moden dan lengkap dengan pelbagai kemudahan untuk pelabur dan pelancong asing,” katanya pada majlis meraikan delegasi Forum Pembangunan Antarabangsa 2012 di Riyaz Heritage, malam tadi.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Setiausaha Agung Persatuan Institusi Pembangunan Kewangan Kebangsaan (Afidimi), Brother Nuri Birtik; Ahli Lembaga Pengarah SME Bank Malaysia, Dato’ Adzmy Abdullah dan Pengurus Strategik Pengurusan SME Bank, Encik Mohd Rizal Mohd Jaafar.



Dato’ Toh berkata, kini kerajaan negeri sedang mengadakan promosi besar-besaran bagi menarik pelancong ke Terengganu melalui kempen Tahun Melawat Terengganu 2013.

“Tahun Melawat Terengganu 2013 bertujuan membantu memperkenalkan Terengganu sebagai destinasi pelancongan antarabangsa bagi memberi pelbagai maklumat kepada pelancong luar negara mengenai negeri ini,” ujar beliau.

Beliau berkata, melalui promosi di bidang pelancongan yang diadakan secara berterusan, bilangan pelancong yang datang ke negeri ini terus meningkat dari setahun ke setahun.