Halaman

10 July 2012

TNB berusaha baik pulih bekalan kurang tiga jam

Oleh: Aida Abd Rahman
Tenaga Nasional Berhad (TNB) berusaha mematuhi garis panduan dalam syarat dan terma syarikat konglomerat itu bagi membaik pulih gangguan tenaga elektrik dalam tempoh tidak lebih tiga jam sebaik sahaja menerima laporan berhubung permasalahan bekalan itu.

Pengurus Besar TNB Terengganu, Haji Md Yuslan Md Yusof, berkata dalam situasi tertentu TNB menetapkan tempoh masa tidak lebih tiga jam bagi kawasan industri, manakala di kawasan bandar pula dalam tempoh masa empat jam.

“Bagaimanapun, kami akan berusaha melakukan kerja penyelenggaraan dan pemulihan bagi memberi bekalan (elektrik) secepat mungkin kepada pengguna.

“Kita faham, pada musim perayaan banyak memerlukan tenaga elektrik, untuk persiapan berpuasa, membuat persiapan juadah hari raya dan sebagainya,” katanya di sidang media sempena Majlis Program Ramah Mesra TNB Bersama Media, di Hotel Primula Beach Resort, Kuala Terengganu, semalam (9 Julai).

Hadir sama, ketua biro dan 30 pengamal media termasuk wartawan dan jurugambar seluruh Terengganu.

Haji Md Yuslan berkata, pihaknya memberi jaminan masalah melibatkan keprluan asas itu dapat diatasi dengan lebih cepat dan berkesan berbanding sebelum ini berikutan pengurusan TNB dikawal secara automatik menerusi pusat kawalan kawasan.