Halaman

20 July 2012

UMT beri komitmen penyelidikan di Antartika

Oleh; Esah Abdullah

Seramai tiga orang penyelidik daripada Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berjaya menyertai akspedisi penyelidikan di Antartika (2003-2009) untuk menjalankan kajian dalam keadaan ‘extreme’ bersama saintis daripada Australia, Canada, Chile, New Zealand, Ecuador dan Afrika Selatan.

Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Ibrahim Komoo berkata, hasil kajian tersebut mereka berhasil menemukan ionosphere GPS-TEC, faktor penghad dan kesan suhu terhadap kesediaan nutrient di dalam tanah.

“Penemuan ini telah membuka peluang bagi saitis meramalkan kesan perubahan iklim global terhadap ekosistem mikro-organisma di kawasan Tropika,” katanya di majlis Pelancaran Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan di UMT semalam.

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat merasmikan pelancaran itu. Berkenan berangkat Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.

Hadir sama, Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; Tengku Sri Paduka Raja Tengku Ibrahim Sultan Ismail Nasiruddin Shah; Yang Dipetua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Haji Tengku Putera Tengku Awang dan Setiausaha Kerajaan, Dato’ Haji Mazlan Ngah.

Katanya, kekuatan para penyelidik dalam bidang oseanografi dan sains marin yang berpusat di Oseanografi dan Sekitaran (INOS) telah diiktiraf sebagai Poteantial Hi-CEO oleh kerajaan tahun lalu.

Selain itu, kekuatan UMT dalam bidang sains marin turut diperakui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan satu memorandum persefahaman telah ditandatangani antara MOSTI dan UMT bagi menubuhkan Institut Oseanografi Kebangsaan.

“UMT dengan kekuatan yang ada sedia membantu penubuhan institut itu dan penyelidikan di Antartika boleh dijadikan salah satu projek kemegahan dalam konsep institut yang bakal ditubuhkan,” katanya.