Halaman

17 July 2012

Usah tangguh bayar zakat : YDP Maidam

Oleh: Aida Abd Rahman

Umat Islam di negeri ini dinasihatkan supaya tidak menangguhkan pembayaran zakat sehingga di saat-saat akhir bagi mengelak sebarang kesukaran yang tidak diingini terjadi pada hari terakhir wajib pembayarannya, sebelum solat Hari Raya Aidil Fitri.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Terengganu (Maidam), Dato’ Senara Muda, Dato’ Mazlan Hashim, berkata ini kerana terdapat segelintir di kalangan umat Islam menunggu melakukan pembayaran pada saat akhir sehingga terlupa melaksanakan ibadat itu.

“Adalah dinasihatkan pembayaran dibuat bermula dari awal puasa, 1 Ramadan lagi menerusi perkhidmatan kaunter bayaran zakat Maidam yang mula dibuka sejak jam 8.30 pagi hingga 4 petang (Ahad hingga Rabu) dan 8.30 pagi hingga 2.30 petang (Khamis).

“Sementara itu, bermula pada 5 hingga 18 Ogos nanti, kaunter bayaran zakat dibuka tujuh hari seminggu di semua kaunter Maidam bermula 8.30 pagi hingga 4 petang termasuk pada hari Khamis,” katanya di Majlis Pengumuman Kadar Fitrah Bagi Negeri
Terengganu Tahun 1432 H/2012 M, di Pejabat Maidam, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Ketua Penolong Setiausaha Baitulmal Maidam, Encik Marzuki Endut.

Sehubungan itu juga, Maidam turut melantik 1,173 amil yang bertauliah untuk beroperasi di setiap masjid dan surau di seluruh Terengganu bagi mengutip fitrah dan zakat harta di samping boleh menjelaskan bayaran menerusi Sistem Pesanan Ringkas (SMS) untuk pelanggan Celcom dan Maxis.

Katanya, pada masa yang sama, semua umat Islam di negeri ini juga dilarang membuat pembayaran Fitrah melalui Perbankan Internet kerana kemudahan itu hanya boleh digunakan bagi pembayaran zakat harta sahaja.

“Malah, menjadi kesalahan sekiranya mana-mana individu yang membayar zakat kepada bukan amil yang dilantik oleh Maidam berdasarkan Enakmen Kesalahan jenayah Syariah (Takzir) Terengganu Tahun 1422H/2001M Seksyen 41.

“Berdasarkan enakmen serupa Seksyen 40 memberi amaran kepaa mana-mana individu yang memungut zakat tanpa mendapat pentauliahan daripada Maidam, boleh ditangkap dan didenda tidak melibihi RM3,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, manakala wang kutipan juga akan dirampas,” katanya.

Selain itu, menurut beliau lagi, menjadi kesalahan sekiranya mana-mana umat Islam di negeri membayar Fitrah selain kepada Maidam serta wakilnya dan termaktub dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu Tahun 1422H/2001M Seksyen 20 (b)yang mana ianya boleh dihukum denda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.