Halaman

02 July 2012

Wajah baru Tasik Kenyir

Oleh FAUZI MOHD

Tasik Kenyir yang terbentang di tengah belantara melukiskan keindahan alam semulajadi menyerlahkan hutan hujan tropika berusia 130 juta tahun menghiasi panorama 340 pulau-pulau daripada rabung bukit-bukau yang bertaburan di tasik buatan manusia seluas 65,417 hektar.

Keistimewaan Tasik Kenyir bukan semata-mata kerana kejernihan air di dadanya, spesies-spesies kayu berharga seperti Keruing, Meranti, Resak dan Kapur serta pelbagai lagi menjulang awan, menaungi habitat hidupan liar eksotik di bawahnya.

Bagi pencinta alam, tasik yang terbentuk hasil pembinaan Empangan Kenyir pada tahun 1985 itu penuh keunikan dan misteri gua-gua belum selesai dibongkar seperti Gua Bewah dan Gua Taat.

Penemuan rangka manusia yang diiktiraf sebagai tertua di negara ini berusia 16,000 tahun di Gua Bewah memasyhurkan lagi nama Tasik Kenyir di kalangan ahli sejarah dan pakar arkelogi.

Di atas kekuatan itu, Kerajaan negeri yakin Terengganu akan mengalami limpahan pelancong sehingga mencecah 10 juta orang setahun apabila dua komponen utama pembangunan Tasik Kenyir iaitu Kenyir Island Hopping (KIH) dan Zon Bebas Cukai beroperasi sepenuhnya sekitar tahun 2015.

KIH cetusan idea Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said melibatkan pembangunan 10 taman dalam tiga fasa bermula 2008 hingga 2015.

Fasa pertama (2008-2012) melibatkan pembinaan Taman Burung, Taman Tropika, Taman Orkid dan Taman Rama-Rama diikuti fasa kedua (2012-2014) meliputi Taman Botani, Taman Rambutan dan Taman Helicornia serta fasa ketiga (2013-2015) terdiri daripada Taman Eko, Taman Kaktus dan Taman Anggur.

Taman Burung yang dihuni lebih 18 spesis burung, itik dan angsa dibangunkan di Pulau Terengganu Mati seluas 1.7 hektar telah siap pada 2010 dengan kos pembangunan fizikal berjumlah RM5.5 juta dan kos sistem elektrik solar RM2.1 juta.

Di Pulau Tekak Besar, Taman Tropika seluas 5.5 hektar diliputi lebih 102 spesis tumbuhan, buah liar, buah eksotik dan buah nadir dengan kos projek RM7.6 juta.

Sementara itu, lebih 3,000 spesis orkid liar dan hibrid pula bakal mewarnai tiga pulau seluas 2.7 hektar iaitu Pulau Selimbar Hilir, Pulau Selimbar Hulu serta Pulau Belit yang dibangunkan dengan kos RM8.6 juta termasuk RM1.2 juta kos pembinaan dua jambatan.

Taman Rama-Rama di Pulau Lubuk Geras seluas 1.5 hektar melibatkan kos pembangunan fizikal RM7.4 juta dan kos sistem elektrik solar RM4.05 juta bakal menempatkan sehingga 5,000 ekor rama-rama daripada 50 hingga 80 spesis.

Sementara itu, pembangunan Zon Bebas Cukai merangkumi dua lokasi penting iaitu Pengkalan Gawi melibatkan pembinaan terminal utama, jeti penumpang dan jeti kargo manakala Pulau Bayas dibangunkan Kenyir Trade Centre (KTC) yang dijangka mula beroperasi pada 2014.

Kompleks pentadbiran bernilai RM3.06 juta dan Kuarters Kastam Diraja Malaysia (RM23.44 juta) di Pengkalang Gawi adalah menyokong kepada Zon Bebas Cukai dari aspek pengawalan dan penguatkuasaan.

Pulau terbesar di Tasik Kenyir, Pulau Bayas yang berkeluasan kira-kira 700 hektar telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan pada September 2010 untuk dijadikan kawasan bebas cukai mengikut Seksyen 3 Akta Bebas Cukai 1990.

Pembangunan di KTC dengan kos RM100 juta melibatkan lima pakej utama iaitu (1) Terminal utama, (2) Pusat membeli-belah, (3) Sistem pencawang elektrik, (4) kerja-kerja infra (seperti jalan dan stesen buggy) dan (5) Sistem air dan kumbahan.

Ke arah merealisasikan hasrat itu, projek penyambungan kabel elektrik sepanjang 23.5 kilometer dari PPU Kuala Ping ke PPU Pulau Bayas dilakukan dengan kos projek RM34.6 juta termasuk pampasan izin lalu.

Pembangunan terancang itu telah menarik beberapa pelabur termasuklah kemudahan hotel 200 bilik bertaraf tiga bintang oleh Bayas Resources Sdn. Bhd. bernilai RM85 juta dan pembinaan Kenyir Eco Sport Tourism Island bernilai RM500 juta di Pulau Serindik.

Walaupun penjelmaan wajah baru Tasik Kenyir sedang berjalan, jumlah kemasukan pengunjung ke tasik itu bertambah saban tahun iaitu pada tahun 2007 mencatatkan 92,199 pelancong, 2008 (133,569), 2009 (189,388), 2010 (225,570) dan 2011 (275,241).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said berkata, zon berkenaan bakal menjadi pemangkin cukup kuat bagi melonjakkan industri pelancongan negeri.

“Keutamaan akan tetap diberikan kepada rakyat negeri ini untuk turut serta, namun melalui peluang yang terbuka kelak, mereka perlulah meneroka secara kreatif penglibatan dalam industri pelancongan,” katanya baru-baru ini.