Halaman

19 July 2012

Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan terima suntikan dana lebih RM12 juta

Oleh; Esah Abdullah

Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan terima suntikan dana lebih RM12 juta bagi membiayai penyelidikan Antartika serta aktiviti yayasan itu.



Kerajaan Malaysia telah menyumbangkan RM10 juta dan dana sepadan dengan jumlah maksima RM500,000 setiap tahun manakala kerajaan Terengganu RM2 juta dan selebihnya daripada Universiti Teknologi Malaysia (UMT) RM100,000 dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) RM50,000.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Dato’ Seri Panglima Maximus Johnity Ongkili berkata, penubuhan yayasan ini mengambarkan komitmen dan sokongan kerajaan terhadap penyelidikan sains di Antartika dan Artik serta pembangunan sains global di negara ini.

Katanya, kehadiran Malaysia secara berterusan untuk menjalankan penyelidikan asas bagi menghasilkan pengetahuan baru adalah selaras dengan aspirasi negara untuk menjadi masyarakat berilmu.



“Saya amat berbangga kerana yayasan ini adalah yang pertama ditubuhkan di negara ini bagi membantu aktiviti-aktiviti penyelidikan sains kutub,” katanya di majlis Pelancaran Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) hari ini (19 Julai).



Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat merasmikan pelancaran itu. Berkenan berangkat Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.

Hadir sama, Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; Tengku Sri Paduka Raja Tengku Ibrahim Sultan Ismail Nasiruddin Shah; Yang Dipetua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Haji Tengku Putera Tengku Awang; Setiausaha Kerajaan, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Naib Canselor UMT, Prof Dato' Dr. Ibrahim Komoo.

Menurutnya, pada Oktober tahun lalu, Malaysia telah menandatangani Antarctic Treaty System (ATS) 1959 dan menjadi ahli Madrid Protocol yang memberi rangka kerja bagi pengurusan dan pentadbiran Antartika serta kerjasama antara semua pihak dan ahli ATS.

Katanya, penyertaan Malaysia dalam ATS memberi peluang yang sangat luas kepada para saintis negara ini untuk menyertai komuniti penyelidikan antarabangsa dalam sains Antartika melalui Badan Bertindak Antartika dan Pusat Penyelidikan Antartika Nasional bertempat di Universiti Malaya sebagai pusat rujukan penyelidikan saintis Malaysia.

Katanya, sejak ia dimulakan (1999) hingga kini sebanyak 31 projek penyelidikan dalam beberapa bidang termasuk sains atmosfera, polar mikrobiologi, ekologi, remote sensing, geo sains, dasar dan pengurusan Antartika berjaya dilaksanakan oleh penyelidik negara.

“Manakala sebanyak 151 penerbitan saintifik telah dihasilkan dan 105 graduan dan graduan lanjutan telah mendapat latihan dalam program ini,” katanya.

Dato’ Seri Panglima Dr. Maximus menyarankan kerajaan-kerajaan negeri,sektor swasta dan individu untuk tampil kehadapan dan bekerjasama dengan yayasan dari segi sumbangan dana dan sokongan terhadap aktiviti-aktiviti yayasan,” katanya.