Halaman

03 August 2012

1,000 orang keluar dari senarai PPRT setiap tahun.

Oleh; Esah Abdullah

Jabatan Kebajikan Masyarakat Terengganu berjaya mengeluarkan antara 1,000 hingga 1,500 orang kalangan penerima bantuan jabatan setiap tahun yang dikenal pasti mampu meningkatkan pendapatan diri dan keluarga.

Pengarahnya, Encik Zuhami Omar berkata, di samping berjaya mengeluarkan antara 1,000 hingga 1,500 senarai nama penerima bantuan setiap tahun, pada masa yang sama penambahan penerima bantuan juga turut berlaku .

Katanya, di samping bantuan bulanan yang diberikan, jabatan juga ada sediakan bantuan geran berdikari di bawah program pembangunan rakyat termiskin (PPRT) untuk mereka menceburkan diri dalam bidang perniagaan, pertanian, kraftangan dan sebagainya.

“Kita berharap golongan miskin tidak selamanya bergantung kepada bantuan jabatan semata-mata sebaliknya perlu berusaha untuk meraih pendapatan yang lebih baik,” katanya kepada pemberita di majlis Pengurniaan Sumbangan Kepada Fakir Miskin di Terengganu Equestrian Resort (TER) semalam.

Yang Di-Pertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat menyampaikan sumbangan kepada 100 orang warga emas, ibu tunggal dan penerima bantuan bulanan JKM dari daerah Kuala Terengganu dan Marang.

Menurut Encik Zuhami, tahun ini JKM menerima peruntukan RM93 juta di mana RM47 juta adalah peruntukan kerajaan pusat dan selebihnya kerajaan negeri.

“Setakat ini kita telah membelanjakan lebih RM50 juta di bawah pelbagai bantuan membabitkan 34,000 penerima seluruh negeri,” katanya.