Halaman

11 August 2012

300 sertai majlis khatam al-Quran Wanita Umno DUN Jertih



Oleh: Mohammad Ishak 

Pergerakan Wanita UMNO Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jertih, menyelesaikan aktiviti sepanjang bulan Ramadan tahun ini dengan menganjurkan majlis khatam al-Quran untuk ahlinya.

Majlis yang berlangsung di Masjid Kayu Ulul Albab Seberang Jertih  itu disertai lebih 300 ahli pergerakan berkenaan dari kawasan DUN Jertih.

Program yang bermula awal Ramadan didahului dengan tadarus al-Quran itu membabitkan 10 masjid terpilih sekitar DUN Jertih dan berakhir hari ini.Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, Dato’ Seri Idris Jusoh diundang bagi merasmikan penutupan program berkenaan.

Ketuanya, Engku Naimah Engku Taib berkata, selain DUN Jertih tiga lagi DUN iaitu Kota Putera,Kuala Besut dan Hulu Besut turut menganjurkan program sama secara berasingan.

Katanya, pihaknya bangga kerana wanita memberi sambutan menggalakkan terhadap program yang dianjurkan itu dan ia berjaya mengimarahkan masjid sepanjang bulan Ramadan dengan pelbagai aktiviti keagamaan.

Berucap pada majlis itu Idris yang juga Pengerusi Mara berkata, Ramadan memberi banyak rahmat dan keberkatan kepada Umat Islam jika mereka yang mengamalkannya sepanjang bulan mulia ini.

Katanya, umat Islam juga digalakkan lebih banyak bersedekah kepada golongan fakir miskin dan ia amat dialu-alukan kepada mereka yang mampu melaksanakannya.