Halaman

15 August 2012

4,819 terima dana raya Dun Batu Rakit

Oleh; Esah Abdullah



Seramai 4,819 orang penerima Dana Hari Raya bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Batu Rakit telah menerima hak masing-masing dalam majlis yang berakhir semalam membabitkan peruntukan RM1.4 juta.

Pegawai Khas kepada Adun Batu Rakit, Encik Kamarudin Mohamad berkata, jumlah itu mewakili 30 buah kampung dalam Dun atau Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).



Katanya, majlis pengagihan telah diadakan di tiga tempat berasingan untuk memberi keselesaan kepada penerima iaitu di Dataran Bestari Kampung Padang Polis (8 Ogos), Dewan Serbaguna Wakaf Chatur, Maras (9 Ogos) dan Pulau Redang (14 Ogos).

Menurutnya, terdapat empat kategori penerima dana itu seperti warga emas (RM200), orang miskin (RM300), orang kurang upaya (RM300) dan ibu tunggal (RM300)



“Sejumlah 3,010 orang miskin, warga emas (906), orang kurang upaya (303) dan ibu tunggal (600) layak menerima dana raya tahun ini,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, merangkap Adun Batu Rakit, YB Haji Khazan Che Mat telah merasmikan ketiga-tiga majlis itu yang diadakan iaitu di Dataran Bestari Batu Rakit, Dewan Serbaguna Wakaf Chagak dan Pulau Redang yang berakhir semalam.