Halaman

13 August 2012

Adun BN hadir sidang DUN walaupun baru ditimpa musibah



Oleh: Kamarudin Mat Akib


Musibah yang menimpa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil, Dato’ Rosol Wahid, ketika umat Islam sedang bersiap-sedia menyambut Aidilfitri, tidak mematahkan semangat beliau untuk hadir sidang DUN hari ini.

“Saya hadir sidang DUN hari ini kerana rasa tanggungjawab terhadap pengundi yang telah memilih saya untuk menjadi wakil rakyat mereka,” kata Adun Ajil yang kediamannya hangus dalam kebakaran, empat hari lalu.

Dalam kejadian itu, kediaman Adun Barisan Nasional BN) di Ajil dan harta benda musnah sama sekali menyebabkan beliau serta keluarga kini tinggal sehelai sepinggang.

Kini beliau menumpang di rumah keluarga mentua di Ajil.

Dato’ Rosol berkata, beliau menerima takdir yang telah ditetapkan oleh Allah, tetapi rasa hiba tidak dapat dielakkan mamandangkan kejadian itu berlaku ketika umat Islam hampir menyambut Hari Raya Puasa.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada kaum keluarga, rakan-rakan serta orang ramai yang tidak putus-putus menghulurkan ucapan takziah serta kata-kata semangat kepada saya dan keluarga.

“Tidak kurang juga ramai yang menghulur pelbagai bantuan kepada saya dan keluarga. Hanya Allah saja yang dapat membalas jasa-jasa mereka semua,” katanya kepada Teganukita selepas selesai sidang DUN hari ini.

Dato’ Rosol memberi jaminan akan terus berkhidmat kepada rakyat, khususnya kepada pengundi di DUN Ajil walaupun beliau dan keluarga masih berada dalam keadaan terkejut.

“Walaupun tidak ada benda yang tinggal, termasuk semua pakaian hangus dalam kebakaran itu, saya tidak berasa susah hati.

“Saya dapat hadapi perkara ini kerana sebelum ini saya memang pernah hidup susah. Saya harap dapat terus mencurahkan bakti kepada pengundi di kawasan DUN Ajil walaupun dalam keadaan serba kekurangan,” katanya penuh semangat.