Halaman

11 August 2012

Gua Bewah terus tersohor

Oleh: Suriati Ali

Gua Bewah yang terletak di antara 340 gugusan pulau di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu dahulunya hanya terkenal sebagai `kilang tahi kelawar’ berikutan puluhan penduduk sering mengunjunginya untuk mendapat najis haiwan itu.

Terdapat laluan khas yang dibina pihak tertentu bagi mengeluarkan najis kelawar untuk dijadikan baja tanaman.

Kini selepas dinaiktaraf oleh kerajaan Terengganu, lokasi tersohor itu seolah-olah menjadi destinasi wajib di kunjungi bagi pelancong setiap kali menjejak kaki di tasik buatan manusia itu.


Penemuan rangka manusia dipercayai berusia 16,000 tahun milik manusia zaman pra-sejarah antara artifak paling berharga di mana mampu meningkatkan jumlah pengunjung sedia ada ke lokasi itu.

Rangka tersebut dipercayai mayat remaja zaman pra-sejarah yang menghuni gua tersebut dan ia ditanam dalam keadaan merengkok (seperti bayi dalam kandungan), masih dikekalkan di tempat asal ia ditemui.

Artifak yang ditemui awal 2010 dalam kerja-kerja eskavasi itu akan ditempatkan di Gua Bewah selepas infrastruktur penting iaitu bingkai kaca di siap di pasang.

Selain rangka manusia turut dijumpai di gua berkenaan adalah serpihan tembikar tanah yang dipercayai dari zaman Neolitik.

Di antara serpihan tembikar itu terdapat serpihan yang tertulis corak seakan-akan tulisan lukisan batu yang pernah ditemui oleh pengkaji di tapak cari gali zaman Neolitik yang lain di seluruh Malaysia.

Pegunjung berpeluang melihatnya semua khazanah itu secara dekat jika mengunjungi lokasi itu yang jauhnya kira-kira 30 kilometer dari Pengkalan Gawi.

Turut di sediakan adalah mini muzium yang menempatkan gambar-gambar proses mencarigali bahan-bahan sejarah oleh ahli-ahli arkeologi terdahulu.,

Di katakan juga gua ini turut menjadi salah satu tempat persembunyian pahlawan melayu iaitu Mat Kilau.

Untuk kemudahan pelancong, pihak berwajib membina tangga dan laluan berjalan kaki untuk menuju kawasan itu selain dilengkapi dengan lampu solar.
Di kiri dan kanan tangga terdapat struktur batuan yang berbeza-beza menghiasi gua bewah itu.

Jika bernasib baik, pengunjung akan bertemu dengan spesis ular yang berwarna putih dicelah-celah batu yang menjadi salah satu penghuni tetap gua di samping kelawar.