Halaman

16 August 2012

Jalin hubungan akrab bersama jiran baru

Oleh; Esah Abdullah

Amalkan budaya kunjung mengunjungi antara satu sama lainserta jalin hubungan akrab bersama jiran baru dan kukuhkan perpaduan serta saling membantu jika menghadapi sebarang masalah.



Itu pesanan yang ditinggalkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, YB Haji Muhamad Ramli Noh kepada 25 daripada 37 keluarga di Perumahan Kampung Padang Nanas, Tepoh petang semalam.

“Kawasan ini dah jadi satu perkampungan baru, mereka datang daripada kampung berlainan jadi mulakan dengan salam perkenalan dan jalin hubungan mesra dengan jiran baru kita,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hamper raya kepada mereka.



Katanya, rata-rata mereka yang diterima tinggal di rumah ini terdiri dari golongan miskin yang tinggal sekitar Dun Tepoh dan bekerja sendiri seperti ambil upah memotong rumput, pengawal keselamatan dan sebagainya.

Selain 40 unit rumah berkembar dua pintu, sebuah dewan serbaguna berharga RM300,000 dengan kapasiti 350 orang bagi kemudahan penduduk menjalankan aktiviti kemasyarakatan.

“Insyaalah, saya akan cuba cari peruntukan untuk membina sebuah surau bagi kemudahan penduduk mengerjakan solat berjemaah serta mengadakan aktiviti berbentuk keagamaan.

Menurutnya, rumah tiga bilik yang berharga RM40,000 sebuah itu di bawah seliaan Maidam menggunakan peruntukan wang zakat berjumlah RM1.6 juta yang diterima daripada Affin Islamic Bank manakala tapak milik kerajaan negeri yang diwakafkan untuk dijadikan tempat kediaman fakir miskin.



Tambahnya, semua penghuni tidak akan diberi hak milik tetapi boleh tinggal di sini selama mana yang mereka mahu dan jika berlaku kematian, anak-anak dibenarkan untuk mendiami rumah itu yang dikenakan sewa RM50 sebulan.

Katanya, sehingga ini 37 unit rumah telah dimiliki dan menerima kunci masing-masing daripada 40 unit yang ada, daripada jumlah itu 25 keluarga sudah masuk dan tinggal di sini manakala selebihnya akan berpindah selepas raya nanti.

“Saya harap mereka segera berpindah dalam tempuh yang diberikan jika tidak kita akan batalkan nama mereka kerana terdapat 100 pemohon lagi sedang menunggu untuk mendapatkan rumah,” katanya.