Halaman

14 August 2012

JBP catat 15 kes kebakaran sepanjang Ramadan

Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA

Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) Terengganu mencatatkan sebanyak 15 kes kebakaran berlaku membabitkan rumah kediaman dengan hampir keseluruhannya musnah sepanjang Ramadan ini.

Penguasa Kanan I Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Terengganu, Encik Md Redzuan Md Hasan, berkata pelbagai punca dikesan mengakibatkan kebakaran itu, antaranya kecuaian manusia, pendawaian elektrik tidak sempurna, penggunaan perkakas elektrik tidak selamat dan perubahan cuaca.

“Masyarakat diminta peka dan sentiasa berwaspada mengenai punca-punca yang boleh mengakibatkan kebakaran, jika kebakaran sudah berlaku kita hanya mampu melihat sisa-sisa harta saja.

“Jangan memandang remeh mengenainya kerana api yang marak boleh membakar setiap kediaman dalam tempoh lima hingga sepuluh minit saja,” katanya selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Hari Raya Kepada Lima Pasukan Keselamatan Terengganu, di Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Pada majlis yang disempurnakan Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Negeri Terengganu (Serikandi)yang juga isteri Menteri Besar, To’ Puan Norliza Mahmud itu, sebanyak 3,340 bungkusan biskut raya diserahkan pasukan keselamatan sebagai penghormatan dan tanda terima kasih.

Encik Md Redzuan memberitahu pihaknya kini giat menjalankan program-program komuniti bagi membantu meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai aspek keselamtan sama ada di pusat membeli-belah, pejabat kerajaan serta premis-premis perniagaan.

“Langkah itu sangat penting memandangkan kebanyakan kes kebakaran berpunca daripada kecuaian manusia itu sendiri serta sikap mengambil ringan aspek-aspek pencegahan dan keselamatan,” katanya.