Halaman

31 August 2012

Kawasan Rukun Tetangga (KRT) DUN Jertih anjuran program sambut Kemerdekaan Ke 55



Oleh: Mohammad Ishak 

Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dari Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jertih, sepakat menganjurkan Sambutan Kemerdekaan Ke 55 dengan mengadakan pelbagai acara menarik membabitkan kanak-kanak Tabika dan ibu bapa.

Program membabitkan KRT Bandar Jertih,KRT Seberang Jertih dan KRT Simpang Tiga Jertih diseriakan dengan acara perbarisan disertai 50 kanak-kanak Tabika, guru, ibu bapa dan ahli jawatankuasa KRT terbabit.

Pengerusi Penyelaras Program,Baharuddin Ibrahim berkata, program itu hasil kesepakatan tiga KRT di DUN berkenaan yang ingin melihat penduduk setempat turut menyertai sambutan kemerdekaan yang diadakan serentak di seluruh negara.

Katanya, program itu walaupun sederhana ia tetap meriah apabila kanak-kanak dari Tabika Perpaduan menunjukkan bakat seni dengan mempersembahkan nyanyian lagu-lagu patriotik kepada tetamu jemputan.

Sementara itu dalam acara perbarisan peserta dari kelas Tabika Perpaduan Simpang Tiga Jertih muncul johan diikuti Tabika Seberang Jertih dan ketiga Tabika Seri Nangka.

Penolong Pegawai Perpaduan Daerah Besut,Salma Abdul Rashid mewakili Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Terengganu,menyampaikan hadiah kepada peserta yang berjaya.

Sementara itu,JPNIN akan mengambil bahagian dalam menyediakan jamuan sempena sambutan Merdeka Raya Peringkat Daerah Besut yang akan berlangsung di Pantai Peranginan Air Tawar, dekat Kampung Raja, pada 8 September ini.