Halaman

06 August 2012

Kemaskini alamat, elak notis JPJ tersasar tempat



Oleh: Aida Abd Rahman

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu meminta orang ramai supaya mengemas kini alamat tempat tinggal supaya tidak berlaku notis berkaitan kesalahan lalu lintas tersasar ke alamat lain yang mengakibatkan berlaku tunggakan saman.

Pengarahnya, Tuan Abdul Rahman Emang Anyie berkata,usaha giat dilaksanakan JPJ untuk memastikan kesedaran orang ramai untuk mengemaskini alamat yang berkaitan dengan kenderaan dan lesen memandu sama ada dilakukan di pejabat JPJ atau di kaunter luar premis JPJ.

“Bagi memudahkan orang ramai berbuat demikian, kita membuka satu kaunter khas di luar JPJ, iaitu di Pasar Raya Sabasun bagi kawasan Kuala Terengganu. Malah, kita juga bercadang untuk menambah kemudahan itu di pasar tani serta pasar raya lain yang menjadi tumpuan orang ramai.

“Selain mengemas kini alamat, JPJ juga menyediakan perkhidmatan menyemak senarai hitam, memperbaharui cukai jalan dan insurans menerusi MyEG di kaunter khas berkenaan,” katanya ketika ditemui di pejabat beliau di Bukit Kecil, Kuala Terengganu, hari ini.

Selain di Kuala Terengganu, JPJ turut menyediakan kaunter khas masing-masing di pejabat cawangan JPJ Besut dan Kemaman yang turut dibuka pada hujung minggu.

Tuan Abdul Rahman berkata, pihaknya juga menyediakan pelbagai perkhidmatan itu menerusi program masuk kampung, iaitu `Satu Komuniti, Satu JPJ’ termasuk untuk memperbaharui lesen memandu dan tawaran nombor pendaftaran popular dengan kadar harga ditetapkan.

“Apabila pihak berkuasa, sama ada JPJ atau Polis menghantar notis, mereka memberi alasan notis itu tidak sampai. Selepas diselidiki, alamat mereka yang tidak dikemaskini.

“Orang ramai kurang mengendahkannya mungkin menganggap perkara itu remeh. Malah, ada yang memberi alasan terlupa dan mengatakan alamat mereka memang begitu (asal) sejak dulu,” katanya.

Tambahnya, menjadi tanggungjawab pemilik kenderaan atau pemilik lessen memandu itu sendiri untuk memastikan alamat dikemaskini yang diperuntukkan mengikut Akta Pengangkutan Jalan (Pindaaan) 2010 Seksyen 58A.

Selain itu, katanya alamat boleh dipinda tanpa had selagi orang ramai mahu memberikan maklumat terkini dan tepat untuk memudahkan urusan surat-menyurat mereka kelak.