Halaman

23 August 2012

Lima Atlit anak jati Setiu yang berjaya di Sukma diraikan.



Oleh: Mohammad Ishak 

Seramai lima Atlit anak jati daerah Setiu yang menempah kejayaan dengan memenangi pingat emas pada Sukan Malaysia (Sukma) di Pahang baru-baru ini diraikan dalam satu majlis khas semalam.

Mereka yang diraikan itu termasuk atlit dalam sukan sepak takraw,olahraga dan perahu layar menjadi tetamu khas sempena majlis sambutan rumah terbuka Aidilfitri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permaisuri,Abd Halim Jusoh.

Majlis yang diadakan di perkarangan Pusat Aktiviti Adun di Kampung Penarik itu turut dihadiri lebih 8,000 pengunjung yang ingin berhari raya dengan ADUN berkenaan.

Majlis yang bermula jam 10 pagi dan berakhir jam 3 petang itu dimeriahkan dengan kehadiran pelakon dan pelawak tanah air,Sathiya dan Pak Da serta penyampai Terengganu FM,Kak Su yang mengamatkan suasana.

Kehadiran ramai tetamu termasuk pelancong asing memberi semangat kepada Abd Halim dan isteri Rashidah Mokhtar yang sanggup melayani ribuan pengunjung dari awal pagi hingga petang.

Menariknya majlis itu berkonsepkan sambutan 1Malaysia kerana ia disertai rakyat pelbagai kaum dari daerah Setiu.

“Saya amat gembira dengan sambutan yang agak luar biasa tahun ini dan membuktikan penduduk daerah Setiu tetap bersama pemimpin Barisan Nasional (BN),” katanya.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua tetamu yang hadir terutama penduduk daerah Setiu kerana memberi sokongan dan kerjasama bagi menjayakan majlis sambutan Aidilfitri tahun ini.