Halaman

10 August 2012

MSNT ikat atlet sambung pengajian pusat latihan

Oleh: Aida Abd Rahman

Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) mengadakan persefahaman dengan pusat latihan dan kemahiran di negeri ini bagi memastikan atlet dapat menyambung pelajaran mereka apabila tamat persekolahan kelak dan tidak berhijrah ke tempat lain.

Timbalan Pengarah MSNT, Encik Ibni Amin Busu, berkata pihaknya mahu `mengikat’ atlet supaya kekal berada di Terengganu dan tidak berdepan masalah kehilangan bintang muda berkenaan apabila mereka mahu menyambung pengajian masing-masing.

“Kita mempunyai perancangan masa depan supaya mereka mempunyai kemahiran dari pusat latihan yang mampu menjamin kehidupan selain meningkatkan pencapaian sukan, mereka juga mudah dipantau dan dibentuk di bawah pengurusan sukan negeri.

“Institut latihan itu kebanyakannya di sekitar Kuala Terengganu berikutan kebanyakan acara sukan melibatkan latihan di venue dan lokasi terletak di bandar ini,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Encik Ibni berkata, MSNT juga mengenal pasti pusat latihan di daerah lain berikutan terdapat acara sukan seperti tinju (Besut), pentaque (Dungun) dan bola tampar (Kemaman).

Sehubungan itu juga, kerajaan negeri turut menyediakan elaun atau insentif Skim Latihan Atlit (fasa i) berjumlah RM130 dan kadar itu dinaikkan kepada RM390 (fasa ii) dalam tempoh tujuh bulan sebelum temasya Sukan Malaysia (Sukma).

“Sebagai contoh, jika atlit memenangi emas di Sukma Pahang, mereka akan mendapat Skim Bintang Cemerlang pada sesi latihan seterusnya yang bernilai RM300 untuk setiap emas, RM200 (perak) dan RM100 (gangsa) setiap bulan bermula Ogos,” katanya.

Beliau berkata, kadar elaun berkenaan adalah paling tinggi ditawarkan berbanding negeri lain sebagai usaha meningkatkan moral dan semangat serta mengelak penghijrahan atlet ke negeri lain.