Halaman

14 August 2012

Payang Walk dibuka kepada pengunjung 6 Oktober ini

Oleh: Aida Abd Rahman
Pelbagai acara kebudayaan dari setiap daerah serta pameran pencapaian dan peristiwa menarik di Terengganu akan dipaparkan kepada pengunjung sepanjang laluan Payang Walk, Kuala Terengganu bermula 6 Oktober ini.

Insiatif kerajaan negeri dengan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu dan jabatan pelancongan negeri itu melibatkan laluan pejalan kaki sepanjang hampir satu kilometer bagi fasa I yang bermula dari Pejabat Besar Pos Kuala Terengganu sehingga ke Simpang Jalan Banggol.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said, berkata laluan yang terlibat dengan acara itu akan ditutup kepada semua kenderaan bermula jam 5 petang hingga 12 tengah malam.


“Di Payang Walk nanti kita akan pamerkan kejayaan dan peristiwa menarik di Terengganu mengikut musim tertentu dan permulaan mungkin kita memaparkan kejayaan Sukma (Sukan Malaysia), diikuti Monsoon Cup dan World Endurance Challenge.

“Kita mengadakan aktiviti ini bagi menjenamakan destinasi pelancongan di bandar raya itu selari dengan pembangunan produk lain seperti pembangunan Pulau warisan, Denai Warisan di Kampung Losong, Muzium Negeri, Taman Tamadun Islam, Pulau Duyung, Pembangunan Kuala Terengganu City Centre, aktiviti menyusur sungai (river cruise) dan pembangunan Pasar Payang,” katanya katanya di sidang akhbar sempena majlis berbuka puasa di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, semalam (13 Ogos).

Dato’ Abdul Rahin berkata, produk baru pelancongan itu nanti mampu mewujudkan keceriaan, keselesaan dan menghidupkan suasana waktu malam di Kuala Terengganu yang sebelum ini sepi tanpa pengunjung,”

Selain itu, menurut Dato’ Abdul Rahin kewujudannya dapat menjenamakan semula destinasi pelancongan di Kuala Terengganu terutama kawasan persekitaran seperti Istana Maziah, Bukit Puteri, Dataran Syahbandar, Bazar Warisan dan pasar Kedai Payang yang menjadi kawasan segi tiga tumpuan perniagaan dan pelancongan di Bandar Raya Kuala Terengganu.

“Payang Walk dapat memperkenalkan kepelbagaian produk pelancongan di lokasi satu hentian yang memberi keselesaan kepada pelancong tanpa kekangan kesesakan lalu lintas di Kuala Terengganu.

“Kita juga menyediakan kemudahan beca mengangkut dan menurunkan penumpang dari Terminal Beca di kawasan parkir kenderaan di Dataran Syahbandar hingga ke Terminal Beca pintu masuk utama Pasar Kedai Payang,” katanya.

Katanya, ruang pameran, demonstrasi, jualan barangan antik, pertukangan kayu, tembaga, pembuatan keris, seni anyaman dan seni tenunan songket secara interaktif turut diwujudkan sebagai tarikan dan pilihan pengunjung.