Halaman

27 August 2012

Pembersihan taman laut dilakukan secara berkala

Oleh; Esah Abdullah

Sekurang-kurangnya empat program utama dan 10 program kecil diadakan di Pulau Redang, Pulau Perhentian dan Pulau Tenggol untuk kerja-kerja pembersihan dan mengutip sampah bagi memastikan Taman Laut itu sentiasa berada dalam keadaan baik.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Toh Chin Yaw berkata, menjadi rutin bagi anggota Jabatan Taman Laut untuk membuat selaman dan membersihkan pukat-pukat yang tersangkut di kawasan karang.

Katanya, dalam program ini selain daripada pemangsa terumbu karang iaitu Mahkota Berduri, para penyelam dan peserta akan mengutip sampah didalam air dan darat serta melupuskan dengan menghantar ke darat.

“Usaha begini juga disambut baik oleh pengusaha selaman di pulau-pulau kerana mereka mempunyai kesedaran bersama menjaga khazanah Negara kawasan yang menjadi punca rezeki mereka ,” katanya.

Selain itu katanya, terdapat program bersama pelajar, agensi kerajaan dan swasta melalui program Penghayatan Taman Laut di mana salah satu elemen yang diterapkan adalah modul ‘marine debris’

“”Didalam modul ini peserta didedahkan tentang kesan setiap sampah kepada alam sekitar dan seterusnya cara melupuskan setiap sampah yang berjaya dikutip,” katanya.

Menurutnya, tahun lalu kira-kira 40 program diadakan di pulau-pulau berkenaan dan bagi setiap Pusat Taman Laut jabatan melantik kontraktor untuk membuat kerja-kerja pembersihan setiap hari.

Katanya, pemantauan kualiti air sentiasa dijalankan di semua pulau-pulau Taman Laut dan terdapat 43 ‘sampling point’ untuk air marin serta 16 lokasi untuk air sungai.

“Pemantauan kesihatan terumbu karang turut diadakan dengan kerjasama badan bukan kerajaan melalui kaedah ‘reef check’ dengan memilih 35 lokasi pemantauan,” katanya.