Halaman

07 August 2012

Penjawat awam perlu responsif, sokong usaha kerajaan

Oleh: Aida Abd Rahman
Penjawat awam perlu responsif dan menilai segala usaha kerajaan yang sentiasa merealisasikan suara mereka selama ini dengan memberi sokongan padu terhadap kerajaan.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, berkata Kerajaan Pusat dan negeri amat mengambil berat kepada kumpulan penjawat awam dengan menyediakan pelbagai kemudahan dan juga peluang yang memberi banyak manfaat kepada golongan itu.

Terbaru, katanya Kerajaan Pusat mengumumkan bonus sempena Hari Raya Aidilfitri dengan nilai setengah bulan gaji atau minima RM500 yang membuktikan kerajaan sentiasa peka terhadap kebajikan dan kehendak penjawat awam.

“Bonus RM500 yang disediakan nanti pastinya akan meringankan beban belanja dan menceriakan kehadiran lebaran di kalangan penjawat awam,” katanya kepada Teganukita ketika ditemui di pejabat beliau, baru-baru ini.

Seramai 20,000 penjawat awam di seluruh negeri menerima bonus sebelum menjelang Hari Raya Aidilfitri yang melibatkan perbelanjaan sebanyak kira-kira RM10 juta.

Ganjaran setengah bulan gaji atau minima RM500 diberikan kepada semua kakitangan awam termasuk badan berkanun negeri dan pesara.

Dato’ Mazlan berkata, langkah kerajaan negeri itu juga seiring dengan keputusan Kerajaan Pusat sebagaimana pengumuman Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak yang menyediakan bonus sama kepada kakitangan kerajaan Persekutuan.

Selain itu, beliau berkatakerajaan juga sentiasa memberi ruang kepada penjawat awam yang mahu melanjutkan pelajaran dalam bidang tertentu bagi meningkatkan kemahiran dan juga pengalaman mereka dalam kerjaya masing-masing.

“Peluang melanjutkan pelajaran dapat menyuntik kecemerlangan masa depan serta mengukuhkan lagi peranan serta jawatan dalam bidang yang disandang bersandarkan kelayakan akademik itu,” katanya.