Halaman

01 August 2012

Perdana Menteri berbuka puasa bersama rakyat Terengganu

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dijangka menghadiri majlis berbuka puasa bersama-sama rakyat Terengganu, pada majlis berbuka puasa di padang Kampung Tok Jiring, Kuala Nerus, pada 9 Ogos depan (Khamis).

Menteri Besar serta saf kepimpinan Kerajaan Negeri Terengganu akan turut hadir pada majlis berkenaan, sebagai penghormatan kepada pemimpin nombor satu negara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, YB Ustaz Muhammad Ramli Nuh, berkata turut dijemput berbuka puasa bersama pemimpin itu ialah ketua-ketua jabatan dan penjawat awam agensi kerajaan negeri dan Persekutuan.

Beliau berkata, Perdana Menteri Malaysia dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, kira-kira jam 6 petang.

Katanya, Dato' Seri Mohd Najib kemudiannya akan hadir pada Majlis Penyampaian Dana Khas Hari Raya di tempat yang sama.

Dato’ Seri Mohd Najib akan menunaikan solat Isyak dan terawih di Masjid Wakaf Tembesu, Kuala Terengganu.

Beliau akan menikmati jamuan moreh dan bermesra dengan penduduk tempatan selepas selesai menunaikan solat berkenaan.

Selesai majlis itu, Perdana Menteri Malaysia berlepas balik ke Kuala Lumpur dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu.