Halaman

13 August 2012

Serikandi agih bungkusan raya kepada anggota keselamatan

Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA

Setiap pemberian yang diagih kepada pasukan keselamatan, sama ada mahal atau sebaliknya, masih tidak seberapa jika dibandingkan dengan curahan keringat dan pengorbanan mereka menjaga keamanan negara.

Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Negeri Terengganu (Serikandi), To’ Puan Norliza Mahmud, berkata kesetiaan anggota keselamatan yang sentiasa bersiap sedia memberi khidmat terbaik kepada rakyat dan negara cukup dihargai.
“Mereka bertugas tanpa mengira waktu semata-mata mahu melihat negara kita bebas daripada ancaman musuh.

“Cuba bayangkan, sekiranya tiada pasukan keselamatan untuk berbakti, pastinya setiap detik kita berasa tidak selamat kerana dibimbangi pelbagai perkara buruk berlaku,” katanya ketika berucap di Majlis Penyerahan Sumbangan Hari Raya Kepada Lima Pasukan Keselamatan Terengganu, di Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir mewakili setiap pasukan untuk menerima bungkusan, , Timbalan Ketua Polis Negeri Terengganu, SAC II Datuk Hamzah Md. Jamil; Pegawai Pemerintah 18 RAMD, Kem Seri Pantai, Seberang Takir, Lt. Kol Mohd Sobirin Mohd Yusof.

Wakil pasukan lain, Timbalan Komander, Rejimen 512 Askar Wataniah, Kem Padang Midin, Leftenan Kolonel Nazli Alias; Penguasa Kanan I Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Terengganu, Md Ridzuan Md Hasan dan wakil Pegawai Pemerintah Batalion 9, PGA Gong Badak, ASP Tuan Yusof Ujang Ajutan.

Pada majlis itu, 3,340 bungkusan kuih raya diserahkan pasukan keselamatan itu sebagai penghormatan dan tanda terima kasih.

To’ Puan Norliza mengharapkan pemberian itu mampu mengukuhkan lagi ikatan silaturahim antara pasukan keselamatan dan Serikandi seterusnya dapat berganding bahu dalam melaksanakan kerja-kerja kebajikan pada masa-masa akan datang.