Halaman

18 August 2012

Terengganu boleh!


Oleh: Kamarudin Mat Akib


Terengganu menyimpan impian besar untuk mengatasi rekod Selangor yang pernah muncul sebagai juara Sukan Malaysia (Sukma) selama enam tahun berturut-turut.

Bermula sebagai juara Sukma pada tahun 2008, Terengganu tidak menoleh ke belakang lagi apabila menguasai kejohanan tersebut pada setiap temasya hingga kini menjuarai Sukma buat kali keempat berturut-turut.

“Pada kejohanan Sukma di Pahang baru-baru ini, banyak pihak tidak menjangka yang Terengganu akan mengekalkan kejuaraan sukan tersebut.

“Ini memandangkan pada peringkat permulaan kejohanan tidak banyak pingat emas yang kita menang dan saingan terdekat meninggalkan kita agak jauh dari segi pungutan pingat,” katanya ketika meraikan atlet, pengurus pasukan dan pengawai Sukma pada majlis berbuka puasa di Kediaman Seri Iman, baru-baru ini.

Terengganu yang bermula agak perlahan pada peringkat awal temasya sukan terulung di Malaysia itu, bangkit pada peringkat pertengahan dan muncul juara Sukma ke-15 selepas meraih 62 pingat emas, 24 perak dan 31 gangsa.

Menteri Besar berkata, beliau amat kagum dengan kegigihan dan semangat juang tinggi yang dimiliki atlet Terengganu yang terus berjuang pada kejohanan Sukma di Pahang.

“Saya yakin jika atlet kita mengekalkan semangat mereka dan terus berlatih bersungguh-sungguh, Terengganu akan muncul juara lagi pada kejohanan akan datang,” katanya penuh yakin.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, kerajaan negeri berkeyakinan tinggi bahawa rekod Selangor dapat diatasi kerana semua kemudahan dan insentif untuk mereka, termasuk menjalani latihan di luar negara, telah disediakan.

“Dari segi bajet untuk sukan, Selangor hanya menyediakan RM4 juta untuk atlet mereka bagi menghadapi Sukma, tetapi Terengganu menyediakan peruntukan RM7 juta.

“Secara keseluruhan bajet untuk atlet kita (termasuk insentif kejayaan) Terengganu menyediakan peruntukan RM12 juta pada tahun ini,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri memberi komimen yang tinggi terhadap bidang sukan dan sentiasa menghargai mereka yang berjaya dan mengharumkan nama negeri di persada negara mahu pun antarabangsa.