Halaman

18 August 2012

Terengganu kekal kuasa sukan

Oleh: Aida Abd Rahman

Gelaran juara buat kali keempat berturut-turut membuktikan Kerajaan Terengganu konsisten dalam menetapkan hala tujunya untuk memastikan pembangunan sukan negeri berada pada landasan yang kukuh.

Pada edisi kali ini, Sang penyu yang bertandang ke Pahang dengan kekuatan `hanelang’ diketuai Ketua Kontinjen, Haji Wan Nawawi Wan Ismail terus mencetus fenomena untuk mengekalkan kuasa sukan negara.

Pencapaian 62 pingat emas, 24 perak dan 31 gangsa merupakan pencapaian terbaik yang pernah diraih kontinjen Terengganu, berbanding kejuaraan tiga edisi Sukma terdahulu.

Kejuaraan pertama selaku tuan rumah pada Sukma ke-12 2008 dengan membolot 61 emas, 39 perak dan 47 gangsa dianggap segelintir pihak sebagai jaguh kampung.

Namun, berbekalkan usaha dan perancangan efektif, teliti dan jitu yang didukungi bapa pembangunan sukan negeri, Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said, semua kontinjen akhirnya akur dengan kehebatan Terengganu yang terus mempertahankan kejuaraan dua tahun kemudian di Sukma Melaka 2010 apabila meraih 47 emas, 30 perak dan 43 gangsa.

Malah, Terengganu terus melakar hatrik kejuaraan pada Sukma Kuala Lumpur tahun lalu dengan membawa pulang 30 emas, 8 perak dan 12 gangsa.

Menteri Besar berkata pembangunan jangka panjang dan perancangan yang teliti menjadi indikator utama yang menjulang Terengganu selaku kuasa sukan negara dan muncul juara buat kali keempat berturut-turut.

Malah, atlet negeri ini yang bertanding di Sukma bermula pada usia muda dan dijanjikan peluang beraksi di peringkat antarabangsa sekiranya menunjukkan potensi memberangsangkan.

Kejayaan Terengganu pada edisi Sukma Pahang turut menafikan penguasaan Selangor selaku juara Sukma tujuh kali sejak 1988 untuk menghuni tangga kedua dengan koleksi 47 pingat emas, 54 perak dan 60 gangsa.

Sejarah turut tercatat pada Sukma lalu apabila menyaksikan atlet angkat berat Terengganu, Abdul Mubin Rahim diumumkan olahragawan mengiringi Frenceay Titus dari Sabah yang muncul olahragawati.