Halaman

04 August 2012

TNB setia bantu golongan miskin

Oleh: Suriati Ali

Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan melakukan kerja-kerja pendawaian semula wayar elektrik di rumah golongan miskin di negeri ini, secara percuma bagi memastikan premis mereka selamat diduduki. 

Pengurus Besar TNB Negeri Terengganu, Haji Mohd Yuslan Mohd Yusof, berkata langkah tersebut merupakan sebahagian daripada khidmat sosial TNB, sekaligus mampu meringankan bebanan mereka kurang bernasib baik. 

Katanya, pihaknya akan menggunakan sebahagian daripada wang zakat yang dikeluarkan TNB bagi membiayai projek pemasangan semula pendawaian wayar elektrik di rumah golongan tersebut.

“Melalui program sama iaitu pada 1 Ogos lalu, TNB turut melaksanakan kerja amal dengan menyambung semula  bekalan elektrik seorang penduduk miskin, Jalan Mizan, Kampung Pulau Ketam, Kuala Terengganu.

“Kerja-kerja penyambungan itu dapat dilaksanakan selepas TNB cawangan Kuala Terengganu berusaha  mengutip dana dengan pihak tertentu, ” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan mengenal pasti golongan yang layak menerima bantuan tersebut mengikut lapan asnaf yang ditetapkan mengikut syariat Islam. 

“Mereka yang layak boleh menghubungi pejabat TNB yang terdekat bagi mendapatkan bantuan itu atau mana-mana Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK). 

“Selepas menerima permohonan pihak kami akan mengadakan siasatan dan jika didapati pemohon layak menerima bantuan tersebut, kerja-kerja pendawaian semula di rumah mereka akan dilakukan kontraktor yang dilantik oleh TNB,” ujar beliau. 

Beliau berkata, program tersebut dimulakan sejak Mei tahun lalu dan kebanyakan  pendawaian semula yang dilaksanakan  membabitkan kos RM500 ke bawah. 

“Pihak kami menganggarkan untuk melakukan kerja-kerja pendawaian semula 300 rumah golongan kurang upaya di negeri ini sepanjang tahun ini,” katanya.