Halaman

18 August 2012

Usah sambut raya secara berlebihan


Oleh: Kamarudin Mat Akib

Umat Islam di negeri ini diingatkan supaya menyambut Hari Raya secara sederhana dan jangan melampaui batasan yang ditetapkan oleh agama, termasuk melakukan maksiat.

Pengarah Unit Komunikasi Negeri, Haji Shamsuddin Sulong, berkata umat Islam perlu berhemah dalam melakukan apa jua perkara, termasuk meraikan hari kebesaran dalam agama dan mengelakkan pembaziran.

"Pada Hari Raya Aidilfitri, sambil kita berjalan ke masjid untuk menunaikan sembahyang sunat hari raya, ambillah kesempatan untuk menziarahi beberapa rumah saudara-mara atau jiran tetangga.

"Dalam perjalanan pulang, kita lalui jalan lain dan ziarah juga beberapa rumah lain di sepanjang perjalanan. Ini merupakan sunnah Rasulullah s.a.w yang sepatutnya menjadi ikutan kita semua,' katanya.

Beliau berkata, sambil berseronok menyambut lebaran, jangan kita lupakan nilai-nilai positif yang telah kita kutip sepanjang bulan Ramadan lalu untuk diamalkan pada masa-masa akan datang, bagi membentuk masyarakat yang gemilang dan terbilang.

Ketua Puteri UMNO Terengganu, Puan Nordiana Shafie, turut mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua lapisan masyarakat di seluruh negeri yang kita cintai ini.

"Sama-sama kita meningkatkan perpaduan di kalangan umat islam dan usah bertelingkah sesama sendiri kerana perbuatan itu merugikan kita semua. Lupakan segala sengketa lama, salam perdamaian dihulurkan buat semua," katanya.