Halaman

21 September 2012

16 kampung di daerah Besut menyertai pertandingan Kebersihan dan Keindahan


Panel Penilai Pertandingan melawat kampung yang menyertai pertandingan

Oleh: Mohammad Ishak 

Sebanyak 16 kampung di daerah Besut dipilih Pejabat Daerah Besut (PDB) untuk dinilai dalam pertandingan Kebersihan dan Keindahan Kampung Peringkat Daerah itu tahun ini.

Kampung terbabit termasuk Kampung Alur Pisang,Lay Out Tok Saboh, Air terjun, RAKR Seberang Jertih,Nyior Tujuh, Amer Hilir,Pak Demalik,Padang Lengkuas,Tanah Merah, Cawangan,Bukit Payong Luar, RAKR Pengkalang Nyireh II, Kubang Ikan, Gong Gucil, Kayu Kelat dan Pasir Akar.

Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh berkata, pertandingan itu bertujuan memilih empat kampung terbaik masing-masing satu mewakili empat Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai wakil daerah ke peringkat negeri.

Katanya, selain itu ia juga bagi mempastikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di daerah itu sentiasa memberi perhatian terhadap keindahan dan kebersihan kampung masing-masing.

Menurutnya, bagi membantu menjayakan program itu PDB sudah mengarahkan Majlis Daerah Besut (MDB) supaya membantu sebarang bentuk keperluan yang dipohon oleh JKKK yang terbabit dalam pertandingan berkenaan.

Beliau berkata, ahli panel penilai diketuai seorang Penyelia Kanan Penghulu Mukim Daerah disertai Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Jabatan Pertanian, Pejabat Agama, Pejabat Kesihatan dan Majlis Daerah Besut sedang membuat penilaian terhadap kampung berkenaan.

Menerusi pertandingan itu pelbagai aspek diberi penilaian terhadap JKKK antaranya, pengurusan organisasi itu, kebersihan, ekonomi, agama, kemasyarakatan,kepemimpinan dan kerjasama antara JKKK dan komuniti

Beliau berharap, menerusi pertandingan itu juga Daerah Besut akan melahirkan sebuah kampung yang benar-benar menepati matlamat mewujudkan sebuah kampung contoh untuk dijadikan model kepada kampung lain di negeri ini.