Halaman

22 September 2012

Bajet 2013 untuk rakyat


Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Bajet 2013 yang akan dibentangkan Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak, pada sidang Dewan Rakyat Jumaat ini (28 September) dijangka akan membawa pelbagai khabar gembira buat rakyat negara ini.

Difahamkan, banyak perkara dan pengumuman baru yang pastinya menjurus kepada kebahgiaan dan kegembiraan rakyat, bakal diumumkan dalam bajet tersebut.

Yang pasti, segala janji yang dibuat melalui Bajet 2013 akan ditunai, sesuai dengan tema “Janji Ditepati” yang menjadi dasar dan pegangan Kerajaan Barisan Nasional (BN), selama ini.


Bajet 2013 akan menggunakan pendekatan baru yang memberi tumpuan kepada peningkatan kapasiti ekonomi negara, selaras dengan hasrat kerajaan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Mengikut laporan akhbar hari ini, Menteri Kewangan II, Dato’ Seri Ahmad Husni Mohamad, berkata bajet yang bakal diumum Perdana Menteri nanti mengunakan pendekatan berbeza dengan bajet sebelum ini di mana ia memberi tumpuan terhadap masa depan negara serta kesejahteraan rakyat secara keseluruhan.

“Kerajaan mahu membangunkan negara dengan merangsang aktiviti ekonomi kita tanpa membebankan rakyat,” ujar beliau. Bajet baru ini akan memastikan rakyat terus mendapat faedah daripada program pembangunan kerajaan yang berkonsepkan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.

Bagi kakitangan kerajaan yang berjumlah kira-kira 1.4 juta orang pula tentunya mengharapkan ‘sesuatu’ yang lebih baik dalam usaha kerajaan mejaga kebajikan mereka.

Berdasarkan rekod Kerajaan BN, kita semua yakin Bajet 2013 akan memberi banyak perkara baik kepada rakyat setiap lapisan masyarakat, termasuk kakitangan awam.