Halaman

10 September 2012

Citra Bot Berhias sempena Payang Walk

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri akan menganjurkan pertandingan Citra Bot Berhias sempena perasmian Payang Walk berhampiran Pasar Besar Kedai Payang, Kuala Terengganu, pada 6 Okt depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Terengganu Dato’ Abdul Rahin Mohd Said berkata pertandingan berkonsepkan pelancongan itu bakal disertai 25 jabatan kerajaan dan agensi swasta.

"Terpulang kepada kreativiti dan inisiatif setiap peserta, asalkan tidak lari daripada tema keindahan dan kebudayaan di daerah masing-masing untuk diselarikan dengan konsep Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013.

"Mereka juga boleh memasukkan elemen Satu Daerah Satu Industri untuk menampilkan keistimewaan daerah itu yang boleh menarik kedatangan pelancong," katanya kepada pemberita pada selepas merasmikan Himpunan Alunan Muzik Tradisional Terengganu dan Majlis Jamuan Aidilfitri di Muzium Negeri Terengganu, semalam.

Dato’ Abdul Rahin turut memberitahu Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin dijangka berkenan merasmikan pertandingan itu yang juga diadakan bersempena sambutan hari keputeraan baginda.

Kira-kira 5,000 pengunjung dijangka hadir memeriahkan program yang turut diselitkan dengan pelbagai aktiviti, pentujukan kahsa dan gerai pameran.