Halaman

02 September 2012

Jamuan Raya MBKT dibanjiri 10,000 warga kota

Oleh: Aida Abd Rahman
Sejajar dengan piagam Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu (MBKT) yang sentiasa dekat dan menjaga hubungan dengan pelanggan , sambutan Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri 2012 MBKT berjaya mencapai matlamat untuk menarik kehadiran lebih 10,000 penduduk tempatan khususnya warga bandar raya.

Majlis diadakan secara terbuka di Perkarangan Kelab Eksklusif MBKT, Pantai Batu Burok, Kuala Terengganu bermula sejak jam 10 pagi berakhir empat jam kemudian menyediakan pelbagai juadah pembuka selera seperti nasi minyak, nasi dagang, keropok, cendol, kuih-muih dan minuman pelbagai perisa.

Datuk Bandar MBKT, Dato’ Adzlan Mohd Dagang, berkata susulan sambutan luar biasa pengunjung di majlis itu pada tahun lalu, pihaknya meningkatkan peruntukan seratus peratus sehingga mencecah RM150,000 bagi memastikan lebih ramai warga bandar raya dapat menyertai acara berkenaan tahun ini.

“Orang ramai khususnya warga bandar raya kita jemput ke majlis hari raya ini dengan hebahan menerusi pelbagai media cetak dan elektronik, selain kain rentang yang digantung di kawasan strategik sekitar Kuala Terengganu.

“Alhamdulillah, kita berjaya menyampaikan maklumat mengenai majlis itu sekali gus hasrat mendekatkan warga bandar raya dengan MBKT dalam program seumpama ini yang hanya berpeluang dilaksanakan setahun sekali akhirnya tercapai,” katanya ketika ditemui di Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri 2012 MBKT, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah, beberapa Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri dan pemimpin politik Umno mahu pun Pas.

Dato’ Adzlan berkata, MBKT menganjurkan acara itu secara terbuka di luar bangunan MBKT sejak tahun lalu dan sambutan yang meriah sebelum ini menyebabkan kita mengambil inisiatif menggandakan peruntukan membiayai majlis yang sama pada tahun ini.

“Sehingga jam 12 tengah hari, sebahagian juadah sudah dihabiskan tetamu yang terdiri daripada pelbagai lapisan usia, bangsa dan juga masyarakat termasuk kaum India dan juga Tionghua.

“Malah, MBKT turut memastikan kesemua tetamu dapat menikmati hidangan dengan menyediakan makanan yang dimasak segera oleh petugas yang sentiasa bersiap-sedia sehingga selesai majlis berkenaan,” katanya.